PUTRAJAYA ― Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan
Negeri (DUN) Semenyih akan diadakan pada 2 Mac ini, kata Pengerusi Suruhanjaya
Pilihan Raya Azhar Azizan Harun.
Beliau berkata hari penamaan calon PRK itu pula ditetapkan
pada 16 Feb, manakala hari mengundi awal pada 26 February.
Loading...
“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari bermula
selepas penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam, 1 Mac 2019,” katanya pada
sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai urusan PRK tersebut, di
sini hari ini.
Azhar berkata daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRK
itu adalah sehingga suku ketiga 2018 yang akan mula dijual pada 12 February.
Katanya daftar pemilih itu mengandungi 54,503 orang pemilih
berdaftar, terdiri daripada 53,520 pengundi biasa, 951 pengundi awal dan 32
orang pengundi tidak hadir luar negara.
Azhar berkata SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan
keluar mengundi pada PRK DUN Semenyih.
Bagi menjalankan proses pilihan raya kecil ini, katanya, SPR
bersetuju melantik Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Datuk Mohd Sayuthi
Bakar sebagai pegawai pengurus pilihan raya serta 992 petugas pilihan raya.
Beliau berkata SPR akan menggunakan Dewan Seri Cempaka
Majlis Perbandaran Kajang di Saujana Impian sebagai pusat penamaan calon dan
pusat penjumlahan rasmi undi.
Selain itu, katanya, sebuah pusat mengundi baharu diwujudkan
menjadikan keseluruhan 26 buah pusat mengundi pada PRK itu serta menambah 31
saluran baharu bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ramai di satu-satu
saluran menjadikan keseluruhan 119 saluran.
“PRK ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.8
juta,” katanya.
Seperti mana yang dilaksanakan pada PRK Parlimen Cameron
Highlands, Azhar berkata SPR akan turut menyiarkan proses PRK DUN Semenyih
secara langsung di laman Facebook SPR, antaranya proses penamaan calon, pengundian awal, semakan isi peti undi,
pengundian, pengiraan undi dan pengumuman keputusan pilihan raya.
PRK DUN Semenyih adalah PRK keenam diadakan selepas Pilihan
Raya Umum ke -14 (PRU14) dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada
4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson
(13 Oktober) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Januari).
PRK DUN Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya,
Bakhtiar Mohd Nor, pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung.
Pada PRU14, Allahyarham Bakhtiar, 57, yang mewakili Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menewaskan tiga calon lain, Datuk Johan Abd
Aziz (Barisan Nasional), Mad Shahmidur Mat Kosim (PAS) dan S. Arutchelvan (PSM)
dengan majoriti 8,964 undi.
Bakhtiar, yang juga Ketua Bahagian Bersatu Hulu Langat,
memperoleh 23,428 undi. ― Bernama
PRK DUN Semenyih: Penamaan calon 16 Feb, mengundi 2 Mac
Reviewed by Faceless
on
23:08
Rating:

No comments: