Putrajaya : Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Tengku Maimun
Tuan Mat mencipta sejarah menjadi wanita pertama memegang jawatan tertinggi
badan kehakiman apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.
Pelantikan beliau berkuat kuasa hari ini.
Loading...
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata Yang
di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas
nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan selepas berunding dengan
Majlis Raja-Raja telah memperkenankan pelantikan itu berdasarkan Fasal (1)
Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Menurut kenyataan itu, majlis penyampaian watikah pelantikan
dan istiadat mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan serta sumpah setia di
hadapan Yang di-Pertuan Agong akan dimaklumkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar
Mahkamah Persekutuan setelah mendapat perkenan Seri Paduka.
Tengku Maimun menggantikan Tan Sri Richard Malanjum yang
bersara pada 12 April.
Lulusan Universiti Malaya, Tengku Maimun, yang akan berumur
60 tahun pada Julai, memulakan kariernya sebagai pegawai undang-undang di
Lembaga Pembangunan Kelantan Selatan (KESEDAR) pada 1982.
Pada 1984, beliau menjadi pegawai undang-undang di Majlis
Perbandaran Seremban selama dua tahun sebelum menyertai Jabatan Peguam Negara
di Bahagian Gubalan.
Dilahirkan di Kota Bahru, Kelantan, Tengku Maimun turut
memegang beberapa jawatan termasuk
majistret, hakim mahkamah sesyen, peguam persekutuan dan penolong kanan
pendaftar serta pegawai khas kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed
Dzaiddin Abdullah dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Beliau dilantik sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan
pada 2005 sebelum dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2006 dan sebagai
Hakim Mahkamah Tinggi pada tahun berikutnya.
Beliau kemudian dinaikkan pangkat, menjadi Hakim Mahkamah
Rayuan pada 2013 dan seterusnya dilantik menjadi hakim Mahkamah Persekutuan
pada November tahun lepas. - Bernama
Tengku Maimun Cipta Sejarah Wanita Pertama Dilantik Ketua Hakim Negara
Reviewed by Faceless
on
19:20
Rating:
No comments: