Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesan senaskah Al-Quran dengan cetakan wajah artis pada kulit muka hadapan yang dilihat mencemarkan kesucian kitab itu.
Ketua Penolong Setiausaha Kanan Seksyen Regulatori Hadith, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Kamaldin Mohd Damin berkata Al-Quran itu dikesan di ibu negara pada akhir tahun lepas dan pihaknya sedang mengesan syarikat yang bertanggungjawab mencetak kulit muka hadapannya.
Loading...
“Ia adalah kes terpencil, namun perlu diberi perhatian serius dan pemantauan berterusan bagi memelihara kesucian kitab umat Islam itu, walaupun difahamkan ianya hanya ada satu sahaja dan dijadikan sebagai ‘hadiah’, namun masyarakat harus sedar ia tidak boleh dilakukan.
“KDN juga merampas Al-Quran yang dicetak dalam tulisan rumi kononnya bagi memudahkan golongan yang tidak tahu membaca tulisan Arab termasuk mualaf, namun ianya menjadi kesalahan kerana pembaca akan membaca dengan sebutan yang salah yang membawa maksud salah,” katanya selepas merasmikan Seminar Pemuliaan Al-Quran dan Rasm Uthmani di Alor Setar, hari ini.
Mengulas lanjut, Kamaldin berkata pihaknya turut mengesan naskah Al-Quran yang dicetak tidak mengikut kaedah penulisan dan penandaan ‘rasm Uthmani’ sepertimana yang diguna pakai di Arab Saudi dan diamalkan umat Islam di negara ini.
Katanya, kebanyakan Al-Quran itu menggunakan ‘mushaf Imla’i’ yang tidak sesuai digunakan secara terbuka kerana boleh menyebabkan wujud beberapa kekeliruan dari segi pembacaan.
“Al-Quran jenis ini banyak dicetak di Indonesia dan Thailand, dengan reka bentuk dan warna yang menarik dan berinovasi, ia dijual secara dalam talian dan ada yang dibawa masuk ke negara ini oleh ejen dari negara berkenaan,” katanya.
Berikutan itu, KDN kini giat bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk mengetatkan kawalan dan akan merampas Al-Quran yang meragukan dan tiada kelulusan daripada Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) di setiap pintu masuk negara.
“Jika Al-Quran itu dibawa masuk oleh ejen, ejen berkenaan perlu berpatah balik kembali ke negara asal dengan Al-Quran yang dibawa, namun jika tiada ejen kita akan rampas Al-Quran itu kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dari segi maksud,” katanya.
- Bernama
KDN kesan imej artis pada muka depan naskah Al-Quran
Reviewed by Faceless
on
06:00
Rating:
No comments: