Foto TMI
KUALA LUMPUR — Kerajaan bersetuju menetapkan
pemotongan gaji berjadual bagi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi
Nasional (PTPTN) kepada mereka yang berpendapatan melebihi RM2,000 sebulan
berbanding RM1,000 berdasarkan Belanjawan 2019 sebelum ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata selain
itu, kerajaan turut memutuskan pengecualian bayaran balik PTPTN bagi peminjam
yang mendapat keputusan kelas pertama turut diperluas kepada golongan isi rumah golongan pertengahan
(M40), berbanding isi rumah berpendapatan rendah (B40) sebelum ini.
Loading...
“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 November 2018 telah
memutuskan supaya potongan gaji kepada peminjam PTPTN sebanyak dua peratus atau
RM40 sebaik sahaja gaji mereka mencecah RM2,000 dan potongan ini meningkat
secara progresif sehingga 15 peratus mengikut jumlah gaji bulanan peminjam.
“Mesyuarat Jemaah Menteri turut memutuskan untuk memberi
pengecualian bayaran balik PTPTN bukan sahaja kepada golongan B40 tetapi juga
dipanjangkan kepada golongan M40.
“Pengecualian ini diberikan bukan sahaja kepada pelajar
golongan M40 dari Universiti Awam (UA) tetapi
juga kepada Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS),” katanya dalam sesi
soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Teo menjawab soalan tambahan yang diaju oleh Wong Kah Woh
(PH ― Ipoh Timur) mengenai pengecualian bayaran balik PTPTN bagi pelajar yang
mendapat keputusan cemerlang.
Pada pembentangan Belanjawan 2019 lalu, Menteri Kewangan Lim
Guan Eng mengumumkan pelaksanaan potongan gaji berjadual antara dua hingga 15
peratus daripada pendapatan bulanan peminjam yang berpendapatan melebihi
RM1,000 sebulan selain pengecualian bayaran bagi golongan B40 sekiranya graduan
memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama.
Teo berkata sehingga Okt 2018, seramai 53,113 pelajar telah
mendapat pengecualian pembayaran PTPTN kerana memperoleh ijazah sarjana muda
kelas pertama dengan 37,355 daripadanya merupakanpelajar UA manakala 15,758
daripada IPTS.
Katanya jumlah kutipan bayaran balik PTPTN yang telah
diterima bermula Jun sehingga September
tahun ini adalah sebanyak RM817.75 juta.
Menjawab soalan asal Wong mengenai lanjutan pengecualian
bayaran PTPTN bagi pelajar separuh masa yang memperoleh keputusan cemerlang,
beliau menyatakan pihak PTPTN tidak berhasrat untuk memberikan pengecualian
tersebut.
Teo turut menyatakan bahawa pelaksanaan pembayaran semula
PTPTN bagi peminjam bergaji melebihi RM4,000 hanya akan dipertimbang semula
apabila kedudukan kewangan negara berada dalam keadaan kukuh. — Bernama
Bukan RM1,000, gaji RM2,000 baru bayar PTPTN
Reviewed by Me
on
22:10
Rating:

No comments: