Hentak Cermin Kereta: Denda RM10,000 Ke atas ‘Abang Botak’ Kekal


Hukuman denda RM10,000 yang dikenakan terhadap seorang lelaki digelar ‘Abang Botak’, yang rakaman videonya tular di media sosial kerana menghentak cermin hadapan sebuah kereta menggunakan topi keledarnya, kekal selepas pihak pendakwaan menarik balik rayuan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini.

Pihak pendakwaan merayu terhadap hukuman Mahkamah Tinggi yang menggantikan hukuman penjara 12 bulan terhadap Danial Abdullah Tan, 33, dengan denda RM10,000 atau penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.


Loading...

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang mempengerusikan panel tiga hakim kemudiannya membatalkan rayuan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Faizah Mohd Salleh memaklumkan bahawa pihaknya telah memfailkan notis penarikan balik rayuan pada 17 Nov tahun lepas.

Peguam Azura Alias yang mewakili Danial tidak membantah penarikan balik rayuan itu.

Turut bersidang dalam prosiding itu dua Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Supang Lian.

Pada 20 Jan tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membenarkan rayuan Danial untuk mengetepikan hukuman penjara 12 bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 31 Mei 2019 selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mahkamah Tinggi itu menggantikan hukuman penjara 12 bulan dengan denda RM10,000 atau dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda. Danial membayar denda tersebut.

Danial yang ketika itu pembantu stor didakwa atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat dan menyebabkan kerosakan pada bahagian cermin hadapan kereta Perodua Axia milik Siew Chean Voon, 60, dengan cara mengetuk menggunakan topi keledar di Jalan Kasturi, Seksyen 12, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan pada 5.30 petang 28 Mei 2019.

Dia dihukum mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pada Mei 2019, tular di media sosial rakaman video perbuatan lelaki itu memecahkan cermin hadapan kereta yang telah dirakam oleh mangsa menggunakan kamera 'dashcam’.

Kejadian itu didakwa berlaku selepas lelaki terbabit berang apabila mangsa membunyikan hon kereta kerana laluannya dihalang oleh lelaki berkenaan yang menunggang motosikal.

- Bernama 

Hentak Cermin Kereta: Denda RM10,000 Ke atas ‘Abang Botak’ Kekal Hentak Cermin Kereta: Denda RM10,000 Ke atas ‘Abang Botak’ Kekal Reviewed by Me on 00:11 Rating: 5

No comments:

Loading...
loading...
Powered by Blogger.