Pejuang Kemuka Rayuan Berhubung Pendaftaran Kepada Menteri Dalam Negeri


PUTRAJAYA, 7 Jan -- Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berhubung penolakan pendaftarannya sebagai parti politik oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), esok. 

Pengerusi Penaja Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad berkata parti itu akan mengikut segala undang-undang dan peraturan ditetapkan bagi memastikan pendaftarannya diluluskan. 


Loading...
"Kita dapat maklumat daripada RoS bahawa permohonan Pejuang untuk didaftarkan sudah ditolak. Sekian lama kita usaha, kita telah cuba patuh kepada segala arahan, undang-undang, peraturan untuk daftar parti kita, tetapi ditolak," katanya pada sidang media, di sini hari ini. 

Sementara itu Setiausaha Agung Penaja Pejuang Datuk Amiruddin Hamzah berkata penolakan permohonan itu dimaklumkan RoS dengan alasan ia tidak teratur mengikut Jadual 1 Akta Pertubuhan 1966 dan ditolak berdasarkan Seksyen 7(3)(e) akta sama. 

"Kita telah menyemak dan kita berpandangan bahawa kita telah penuhi semua syarat yang ditetapkan dalam Jadual 1 berkenaan, bahkan kita telah bersemuka dengan pihak RoS dan mereka sendiri mencadangkan beberapa perubahan dalam perlembagaan kita yang kita ikut dan buat perubahan itu dan hantar semua kepada mereka," katanya. 

Terdahulu, Pejuang dilaporkan menarik balik permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkannya bagi mencabar tindakan RoS yang belum meluluskan pendaftaran parti itu, selepas dimaklumkan mengenai penolakan berkenaan. 

Sementara itu, ditanya mengenai pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, Dr Mahathir berkata ia bukanlah satu projek yang penting dan Malaysia boleh menunggu 20 hingga 30 tahun lagi untuk melaksanakannya. 

"Kerana sistem ni kena pergi jauh, baru kita dapat pelbagai penjimatan dari segi masa, ini cuma 230km sahaja, masa paling tinggi yang dapat dijimatkan pun sekitar 15 minit. 

Untuk penjimatan 15 minit kita kena bayar wang yang banyak, dan tambahan pula kos pembinaan HSR itu melonjak sehingga hampir RM80 bilion, kita tidak akan dapat balik wang kita,” kata bekas Perdana Menteri itu. 

Pada 1 Jan lepas, Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong dalam kenyataan media bersama memaklumkan projek HSR telah ditamatkan memandangkan kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia susulan perjanjian projek itu berakhir pada 31 Dis 2020. - Bernama
Pejuang Kemuka Rayuan Berhubung Pendaftaran Kepada Menteri Dalam Negeri Pejuang Kemuka Rayuan Berhubung Pendaftaran Kepada Menteri Dalam Negeri Reviewed by Me on 00:08 Rating: 5

No comments:

Loading...
loading...
Powered by Blogger.