oleh Shahbudin Husin
Walaupun berapa pemimpin Pakatan Harapan seperti Anwar Ibrahim, Muhyiddin Yassin, Mukhriz Mahathir, Salahuddin Ayub, Marzuki Yahya dan beberapa yang lain sebelum ini telah secara terbuka menolak ratifikasi ICERD, tetapi para pemimpin UMNO dan Pas terus tanpa henti-henti membangkitkan isu tersebut.
Loading...
Malah, UMNO dan Pas telah secara bersama berhimpun di Pasir Salak semalam bagi tujuan membakar perasaan rakyat dan merancang untuk mengadakan himpunan yang lebih besar dengan tujuan yang sama di Kuala Lumpur pada 8 Disember depan.
Tidak cukup dengan itu, Presiden UMNO, Zahid Hamidi turut mendakwa orang Melayu boleh “mengamuk” kerana membantah ICERD.
Realitinya ICERD adalah suatu konvensyen yang dianjurkan oleh PBB untuk negara-negara seluruh dunia melaksanakannya, tetapi ia bukanlah paksaan.
Amerika Syarikat sendiri ada yang tidak setuju dengan beberapa konvensyen lain anjuran PBB dan enggan menandatanganinya.
Maka, jika Malaysia tidak menandatangani ICERD, ia bukanlah ada apa-apa masalah sebenarnya.
Meskipun banyak negara di dunia telah menandatangani ICERD, namun perlu difahami bahawa Malaysia adalah unik kerana ia sebuah negara berbilang kaum dan hak-hak istimewa orang-orang Melayu serta kedudukan Bumiputera sudah pun termaktub dalam Perlembagaan tanpa menimbulkan apa-apa masalah.
Bahkan ICERD, kalau pun ditandatangani, tidak sama sekali mengatasi kedudukan Perlembagaan yang merupakan tunjang kepada negara.
Selagi Perlembagaan negara kekal, kedudukan orang Melayu dan Bumiputera juga akan kekal.
UMNO dan Pas bukan tidak sedar hal itu, tetapi kerana ingin meraih untung politik, mereka terus juga memainkan isu itu. Maklumlah, kedua-dua parti itu sudah “bercantum” sebagai pembangkang sekarang ini.
Apabila keadaan nampaknya berlarutan, ramai yang mengharapkan kerajaan pimpinan Tun Mahathir Mohamad agar bertindak lebih tegas agar isu ICERD ini tidak terus berlarutan.
Kenyataan beliau sebelum ini yang mengatakan terdapat beberapa peruntukan dalam ICERD tidak sesuai dengan negara kita nampaknya masih tidak memadai untuk menghentikan isu tersebut daripada terus dimainkan.
Harapan itu akhirnya muncul hari ini apabila Tun Mahathir, ketika menghadiri Persidangan APEC di Papua New Guniea, dengan tegas menyatakan adalah mustahil untuk melaksanakan ICERD yang menuntut penghapusan diskriminasi kaum di Malaysia.
Katanya, perlaksanaan ICERD memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan di mana untuk memindanya perlukan sokongan dua pertiga di Parlimen.
Dengan penegasan Tun Mahathir berkenaan ICERD itu yang dilakukannya di hadapan masyarakat antarabangsa ketika Sidang APEC dan bukannya di Pasir Salak, Bagan Datuk atau Marang, Terengganu, tentunya dengan mudah dan jelas difahami bahawa Malaysia tidak akan menandatangani konvensyen PBB itu.
Kalau sudah mustahil untuk dilaksana, bererti tidak guna atau tiada keperluan untuk negara kita menandatanganinya.
Maknanya, isu ICERD ini sudah boleh dianggap selesai dan tidak perlu dipanjangkan lagi berikutan kenyataan Tun Mahathir itu.
Cumanya, bagaimana dengan UMNO dan Pas, masih mahukah mereka meneruskan perhimpunan membantah ICERD pada 8 Disember depan? - Malaysianreview
Isu ICERD selesai, PM Dr Mahathir kata mustahil laksana…
Reviewed by Me
on
13:38
Rating:
No comments: