Najib Razak berdepan dengan 38 pertuduhan di mahkamah,
manakala isterinya, Rosmah pula 17 pertuduhan.
oleh Shahbudin Husin
Jika kita lihat, sejak hilang jawatan ini Najib Razak bukan
saja lebih aktif, cepat memberi respon terhadap apa juga isu yang melibatkan
dirinya, UMNO, rakyat atau kerajaan terdahulu yang pernah dipimpinnya, malah
seolah-olah baru menerima suntikan keberanian dalam tubuh badannya.
Kalau dulu Najib begitu lambat memberi respon terhadap apa
juga isu yang berbangkit, mengekang sebarang soalan berkaitan 1MDB di Parlimen
dan tiada sidang akhbar selepas sesuatu majlis yang dihadirinya atau jika ada
pun, tiada sebarang soalan boleh ditanyakan, sebaliknya sekarang ini beliau
begitu rajin bertemu media dan terbuka untuk disoal jawab oleh mereka.
Tidak cukup dengan sedia ditemubual oleh portal yang sebelum
ini dilarang menghadiri sidang medianya, sehingga dengan TV Al Jazeera pun
beliau sanggup menjual muka dan cerita, meskipun mungkin sedar risiko akan
berhadapan dengan soalan-soalan yang panas daripada mereka.
Di media sosial miliknya pula, hampir setiap hari ada saja
tulisan atau catatan diluahkannya, kadangkala pada waktu malam juga, tidak kira
berkaitan apa saja isu untuk menjawab apa-apa yang dibangkitkan oleh pemimpin
kerajaan, terutamanya Tun Mahathir Mohamad dan Lim Guan Eng.
Loading...
Di Parlimen pula, jika tiada kes mahkamah, tercongoklah
banyak masanya di Dewan Rakyat, bahkan kehadiran lebih kerap berbanding ketika
menjadi Perdana Menteri dahulu.
Di portal-portal media bebas, hampir setiap hari ada saja
berita mengenai Najib yang boleh ditemui dan dibaca.
Tidak cukup dengan itu, meskipun sebelum ini beliau beberapa
mengelak dan lari daripada program NothingToHide, kali ini Najib sendiri
menawarkan forum terbuka untuk sesiapa saja bertanya soalan kepadanya.
Melalui hantaran di laman facebooknya tempohari, Najib
memaklumkan bahawa majlis santai bersamanya itu akan diadakan pada 3 November
lalu di PWTC, Kuala Lumpur.
Kenapakah Najib tiba-tiba menjadi aktif dan berani sekarang
ini, tetapi tidak melakukannya ketika menjadi Perdana Menteri dahulu?
Siapakah yang merangsang dan memberi semangat kepadanya
sekarang ini?
Apakah ia disebabkan kerana ketika ini Rosmah Mansor tidak
banyak lagi mengganggunya sebagaimana dahulu?
Sementara itu, ada juga yang bertanya, buat apa lagi beliau
sibuk-sibuk memberi komen itu dan ini, sedangkan yang lebih patut diberi
perhatian olehnya ialah berkaitan 38 kes mahkamah yang sedang dihadapinya?
Lebih daripada itu, untuk apa juga Najib berbalas hujah dengan
Tun Mahathir, Guan Eng atau lain-lain pemimpin Pakatan Harapan, walhal seluruh
dunia tahu punca utama kekalahan UMNO dan BN dalam pilihanraya lalu adalah
disebabkan dirinya?
Tidak ada rasa malukah Najib terus menonjolkan diri dan
seolah-olah menunjuk dirinya suci di ketika seluruh dunia tahu kekotoran diri,
keluarga dan pertadbirannyalah yang menyebabkan rakyat menghumban UMNO ke
lembah kekalahan dalam pilihanraya lalu?
Apa lagi yang Najib mahu kejar selepas ini?
Apakah beliau mahu kembali jadi Perdana Menteri semula
seperti Tun Mahathir?
Dalam hal ini, atas apa hujah dan keadaan sekali pun,
sebetulnya adalah sia-sia dan sangat membuang masa saja tindakan Najib sekarang
ini.
Najib harus sedar, beliau adalah bekas Perdana Menteri yang
dikalahkan dalam pilihanraya kerana skandal dan kekotoran pentadbiran, diri
serta keluarganya sehingga rakyat tiada pilihan lain selain menolaknya melalui
peti undi di seluruh negara.
Tidak cukup dengan itu, sehingga ini beliau sudah pun
berdepan dengan 38 pertuduhan di mahkamah, manakala isterinya, Rosmah pula ada
17 pertuduhan.
Adalah dipercayai lebih banyak lagi pertuduhan bakal
dikenakan kepada Najib, Rosmah, anak tirinya Riza Aziz serta rakan-rakan
seperdosaan sama ada berkaitan 1MDB atau skandal-skandal yang lain.
Dengan itu, untuk beberapa tahun akan datang, Najib dan
keluarganya dipercayai akan terus sibuk dengan urusan turun naik mahkamah,
bahkan tidak mustahil jika turut menjadi penghuni Penjara Sungai Buloh atas
kesalahan yang disabitkan kepada mereka.
Maka, apa juga keaktifan dan keberanian yang ditunjukkannya
sekarang tidak memberi sebarang makna kerana penjara adalah kemungkinan yang
paling sukar untuk dielakkan sebagai destinasi akhir dalam kehidupannya.
Sesuatu yang Najib harus sedari juga ialah beliau bukan Tun
Mahathir yang mampu bangkit untuk jadi Perdana Menteri buat kali kedua.
Tun Mahathir berhenti dengan sukarela ketika namanya
dipuncak pada 2003 dan beliau tidak pernah ada apa-apa kes mahkamah atau
jenayah yang menjadi bebanannya, manakala Najib berderet-deret kes mahkamah
menantinya.
Lantaran itu, meskipun tidak bergelar Perdana Menteri, aura
Tun Mahathir kekal disanjung tinggi.
Tetapi, di manakah kelebihan Najib yang boleh membuatkan
rakyat mahu menerimanya semula?
Kalau pun ditakdirkan andai kata dalam dua atau tiga
pilihanraya akan datang UMNO dan BN mampu bangkit semula menggapai kuasa,
kerusi Perdana Menteri hampir mustahil jadi milik Najib semula.
Najib bukan saja menjadi punca kalahnya UMNO, tetapi juga
dijangka berdepan dengan kes mahkamah yang panjang.
Di waktu yang sama, UMNO sudah ada barisan kepimpinannya dan
beberapa pemimpinnya sebelum ini telah menyatakan ingin menjarakkan diri
daripada bekas Perdana Menteri itu serta menganggapnya sebagai beban bagi
mereka.
Untuk itu, selain harus sedar diri, daripada Najib terus
membuang masa melakukan kerja sia-sia, adalah lebih baik beliau menumpukan
lebih perhatiannya kepada kes-kes mahkamah yang sedang dihadapinya saja.
*Shahbudin Husin adalah penulis buku kritik politik
terkenal. Tulisan adalah pendapat peribadi beliau.
Najib dan keluarganya dipercayai akan terus sibuk turun naik mahkamah
Reviewed by Me
on
05:29
Rating:

No comments: