Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad hari ini mendedahkan dua lagi kes pencerobohan lot tanah milik kerajaan di Kuala Lumpur yang dipercayai akibat penyelewengan dan salah guna kuasa.
Beliau berkata ia membabitkan Kompleks Tun Abdul Ghafar Baba di Lot 33600, Jalan Kuchai Jaya 1 Mukim Petaling dan Dewan Shazac Bistari Kompleks Yayasan Wangsa Perdana di Lot 27679 Jalan Gombak, Mukim Setapak.
Loading...
Menurutnya, tanah di Kompleks Tun Abdul Ghafar yang berkeluasan 0.8 ekar memperoleh Perintah Pembangunan daripada pihak berkuasa pada 25 April 2017 manakala Dewan Shazac Bistari Kompleks Yayasan Wangsa Perdana berkeluasan 0.7 ekar tidak mempunyai Perintah Pembangunan.
Bercakap pada sidang media bersempena Majlis Ramah Mesra Bersama Media di Kuala Lumpur hari ini, Khalid berkata pemaju bangunan terbabit diberi tempoh sehingga hujung Februari ini untuk menghubungi pihaknya bagi berbincang mengenai jalan penyelesaian.
"Kita juga mengambil kira pendapat penduduk setempat bagi penyelesaian yang sesuai," katanya sambil menambah antara penyelesaian itu ialah dengan mengambil alih bangunan tersebut.
Nilai semasa tanah terbabit diangggarkan antara RM500 dan RM600 kaki per segi, katanya.
'Hapus penguasaan kartel'
Khalid berkata pihaknya akan terus mengumpul bukti dan dijangka menyerahkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas sambutan Tahun Baru Cina.
Ditanya sama ada pegawai meluluskan pembangunan tersebut akan diambil tindakan, beliau berkata pihaknya akan menyiasat terlebih sebelum membuat keputusan memandangkan ada masih bertugas dan yang sudah bersara.
Khalid sebelum ini mendedahkan kes pencerobohan dua lot tanah milik kerajaan di Medan Imbi, Bukit Bintang. Tanah berkenaan adalah Lot 568 milik Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan dan Lot 716 dimiliki Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Ketua Setiausaha Negara.
Khalid dilaporkan berkata dua lot tanah seluas 0.14 hektar itu pada asalnya adalah taman permainan dan kawasan lapang yang dipenuhi pokok tetapi kini sudah digantikan dengan sebuah bangunan pejabat enam tingkat serta gerai buah-buahan.
Beliau juga berkata pihaknya akan terus meneliti projek-projek pembangunan di Kuala Lumpur yang disyaki terlibat dengan penyelewangan dan salah guna kuasa tanah-tanah milik kerajaan.
Dalam pada itu, Khalid berkata beliau bertekad untuk menghapuskan penguasaan 'kartel' dalam projek-projek yang ditawarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sejak sekian lama.
"Kita dapati kebanyakan projek diperoleh syarikat-syarikat yang sama walaupun kaedah digunakan biasanya secara cabutan undi," katanya.
- Bernama
2 lagi kes penyelewengan tanah lot k'jaan didedah
Reviewed by Me
on
05:51
Rating:
![2 lagi kes penyelewengan tanah lot k'jaan didedah](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh1B00VhWs55Lu221HnI2KAhh2SzAkY63Z3JNWihAOf0iulJb9q-dD1GghGAbpq3QNW6Jmc61Sa4Z4E4_pWMTbZxtcgJu4ZZnxRi6hzWYGrbrQvax1wIbDyiL_htLPKYAArs8t_TNOa48Uf/s72-c/khalid_samad_amanah_tmikamal_01__full.jpg)
No comments: