KUALA LUMPUR — Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng
menolak sekeras-kerasnya dakwaan kononnya terdapat usaha oleh dua parti komponen
Pakatan Harapan (PH) untuk membentangkan undi tidak percaya terhadap kepimpinan
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata andaian yang dibuat oleh Setiausaha Agung PAS
Datuk Takiyuddin Hassan mengenai undi tidak percaya itu adalah fitnah serta
bertujuan mengalihkan perhatian umum tentang skandal pemimpin PAS yang menerima
wang daripada Umno.
Loading...
“Saya ingin menegaskan bahawa PH secara keseluruhan memberi
sokongan penuh kepada kepimpinan perdana menteri dan menolak sekeras-kerasnya
sebarang andaian yang mengatakan sebaliknya.
“Tidak ada satu parti komponen atau mana-mana pimpinan PH
yang menyatakan tidak sokong atau mahukan undi tidak percaya ke atas kepimpinan
Tun Dr Mahathir baik di dalam atau di luar mesyuarat Majlis Presiden PH,”
katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebaliknya Lim berkata yang menentang kepimpinan Tun Dr
Mahathir tidak lain adalah PAS sendiri.
Semalam, Takiyuddin menjelaskan perakuan bertulis yang
berbentuk contoh yang diberikan kepada Dr Mahathir dalam pertemuan Jumaat lepas
hanyalah komitmen sokongan PAS atas dasar menjaga kepentingan agama, negara dan
bangsa sehingga Pilihan Raya Umum ke-15.
Takiyuddin turut melahirkan sokongan terhadap kepimpinan Dr
Mahathir sekiranya berlaku pengkhianatan di kalangan parti komponen PH.
Lim meminta Takiyuddin menunjukkan bukti atas dakwaannya itu
yang disifatkan sebagai berniat jahat.
“Sekiranya beliau (Takiyuddin) gagal berbuat demikian, jelas
terbukti beliau tidak bertanggungjawab, tidak bermaruah dan hanya memainkan
helah untuk mengelakkan isu sebenar iaitu politik sempit, pembohongan dan
mencipta fitnah semata-mata untuk mengalihkan perhatian mengenai skandal wang
pemimpin PAS,” menurut kenyataan itu. — Bernama
Undi tidak percaya fitnah, PAS alih isu terima dana Umno
Reviewed by Me
on
17:54
Rating:
No comments: