MANILA - Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) mungkin perlu
mengkaji untuk menggugurkan syarikat miliknya yang tidak berprestasi baik
berikutan kerugian pertama yang dialami syarikat milik negara itu pada tahun
lepas, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, walaupun belum ada perbincangan mengenai
cadangan itu kepada Khazanah, namun ia merupakan antara pendekatan yang boleh
diambil untuk memulihkan masalah yang dihadapi syarikat itu.
Loading...
"Mungkin mereka (Khazanah) perlu mengkaji perkara itu.
Syarikat yang tidak termasuk dalam bidang aktiviti Khazanah, kadangkala mereka
melakukan sesuatu yang sepatutnya dilakukan oleh pihak lain.
"Mengenai menggugurkan syarikat, itu adalah satu
daripada cara untuk mengurangkan kerugian yang dialami Khazanah," katanya
kepada wartawan Malaysia pada hari terakhir lawatan tiga harinya ke Filipina di
sini hari ini.
Khazanah mencatatkan kerugian sebelum cukai RM6.3 bilion
pada 2018 berbanding keuntungan sebelum cukai RM2.896 bilion tahun sebelumnya.
Ini merupakan kerugian pertama yang dicatat syarikat pelaburan kerajaan dalam
tempoh 10 tahun.
Mahathir juga berkata, Khazanah perlu menjelaskan kepada
wakil rakyat dan seluruh rakyat Malaysia mengenai kerugian yang dialami oleh
syarikat itu.
Katanya, syarikat tersebut juga perlu mempunyai perancangan
yang menyeluruh dan pelan tindakan untuk memulihkan kedudukan syarikat daripada
terus mengalami kerugian.
Beliau berkata, antara punca utama kerugian yang dialami
oleh syarikat itu ialah prestasi Malaysia Airlines Bhd. (MAB) yang tidak
memuaskan.
"Ini bukan suatu yang mudah untuk dipulihkan. Namun,
saya yakin mereka mempunyai perancangan untuk mengatasi masalah yang dihadapi
oleh syarikat-syarikat mereka yang berprestasi rendah.
"Mungkin juga mereka akan menggugurkan beberapa
syarikat," katanya. - Bernama
Dr Mahathir: Khazanah perlu perjelas kepada rakyat mengenai kerugian dihadapi
Reviewed by Faceless
on
17:33
Rating:
No comments: