Logo rasmi baru bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 akan
diumumkan Mei depan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin
Ketapi.
Beliau berkata logo berkenaan akan diumumkan sebaik pemenang
bagi pertandingan mencipta logo kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 yang bermula
11 Mac lepas diputuskan.
Loading...
"(Logo) Pemenang tempat pertama daripada keseluruhan
586 penyertaan yang diterima bagi pertandingan itu nanti akan terpilih menjadi
logo rasmi Visit Malaysia 2020 yang baru," katanya kepada pemberita
selepas menyempurnakan program Larian Ulat Buku u-Pustaka 2019 di Dataran
Merdeka di Kuala Lumpur, hari ini.
Mohamaddin berkata kriteria utama logo yang menjadi fokus
pemilihan ialah rekaan yang melambangkan seni budaya masyarakat negara ini dan
menonjolkan kepelbagaian produk-produk ekopelancongan yang menarik di Malaysia.
Penyertaan bagi pertandingan tersebut yang berakhir pada 24
Mac lepas bertujuan menggalakkan rakyat menyertai kempen Tahun Melawat Malaysia
2020 dengan menyumbang idea kreatif mereka serta menambah baik logo sedia ada.
Logo sedia ada khusus mempromosikan Malaysia itu yang
dilancarkan bekas menteri pelancongan dan kebudayaan Mohamed Nazri Aziz di
Chiang Mai, Thailand sempena Asean Tourism pada awal tahun lalu menerima
respons negatif pelbagai pihak.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia
(PNM) Nafisah Ahmad berkata Larian Ulat Buku u-pustaka merupakan alternatif
pihaknya bagi memberi pendedahan dan kesedaran secara meluas kepada orang ramai
terhadap perkhidmatan u-pustaka.
“Program ini juga bertujuan meningkatkan budaya membaca dan
gaya hidup sihat serta mempererat semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“U-pustaka ini adalah platform digital library (perpustakaan
dalam talian) yang menggabungkan koleksi fizikal dan digital...Larian ini
merupakan antara pengisian program Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Dunia 2020,”
katanya.
Program anjuran PNM dengan kerjasama Kementerian Komunikasi
dan Multimedia serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sempena ulang tahun kelapan
u-Pustaka disertai hampir 4,000 orang peserta daripada pelbagai lapisan umur
dan bangsa termasuk peserta dari luar negara. -Bernama
Logo baru Tahun Melawat Malaysia 2020 diumum Mei
Reviewed by Faceless
on
05:14
Rating:
No comments: