JOHOR BARU — Tiga mangsa kenderaan pelbagai guna
(MPV) Toyota Innova yang terbabas di KM18.2 Lebuhraya Utara Selatan arah
selatan dekat Kulai, semalam, berada dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat
di Zon Merah, Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.
Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata kesemua
mereka adalah dua wanita iaitu Timbalan Ketua Muslimat PAS Tenggara, Rodhiyah
Abu Hassan, 47, beralamat di Taman Sayong Indah, Bandar Tenggara dekat Kota
Tinggi dan Mariah Ulfah Zulkefli, 26, beralamat di Jalan Sulaiman, Muar serta
seorang lelaki, Muhamad Adam Azian, yang belum dikenal pasti umurnya.
Loading...
“Ketiga-tiga mereka merupakan penumpang belakang Toyota
Innova terbabit. Selain tiga yang kritikal itu, lima lagi mangsa dilaporkan
cedera dan dirawat di HSA serta Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim,
Kulai,” katanya yang dihubungi di sini hari ini.
Tok berkata kelima-lima mereka adalah Abdul A’raaf Iftirash
Abdul Karim, 10 (cedera di kepala); Hasnul Rizal Mohd Zain, 46 (penumpang
hadapan dan cedera pergelangan tangan); pemandu Toyota Innova yang dikenali
sebagai Riduan (cedera ringan); Siti Nur Safiah Abdullah 15, (cedera ringan);
serta Muhamad Norfauzan, 12, (patah tulang selangka).
Beliau berkata identiti kanak-kanak yang maut dalam
kemalangan terbabit dikenal pasti sebagai Muhammad Amirul Hakimi Abdullah, 11, manakala seorang
lagi kanak-kanak, Muhammad Salihin Darwisy, 11, pula merupakan satu-satunya
mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan melibatkan 10
mangsa tersebut.
Katanya menurut maklumat dari pihak Madrasah Tahfiz Ar
Rayyan di Bandar Tenggara, Muhammad Amirul Hakimi, Muhammad Salihin Darwisy,
Abdul A’raaf Iftirash, Muhamad Adam, Hasnul Rizal serta Riduan ingin pergi ke
bandar raya ini untuk menghadiri satu majlis tahlil.
“Rodhiyah, Siti Nur Safiah, Mariah Ulfah dan Muhamad
Norfauzan pula ingin pergi ke program Bantahan Hina Nabi di Bandar Baru Uda dan
mereka menumpang kenderaan dipandu Riduan itu memandangkan tempat yang hendak
dituju adalah satu laluan sama,” katanya.
Menurut Tok, pegawai penyiasat kini masih berhubung dengan
pihak madrasah berkenaan bagi mendapatkan sebahagian lagi butir pengenalan diri
mangsa.
Dalam kejadian kira-kira 1.35 tengah hari semalam, tayar
Toyota Innova dinaiki 10 mangsa termasuk pelajar Madrasah Tahfiz Ar Rayyan
berkenaan pecah, menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan lalu terbabas
melanggar besi tengah pembahagi jalan sebelum berpusing dan terbalik ke lorong
kecemasan arah sama.
Terdapat mangsa tercampak ke atas jalan dan salah seorang
daripadanya, Muhammad Amirul Hakimi, yang maut di tempat kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan
1987. — Bernama
Muslimat PAS antara tiga mangsa kritikal nahas di Kulai
Reviewed by Faceless
on
22:09
Rating:
No comments: