PORT DICKSON — Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK)
Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, satu mesej untuk bersama mendengar apakah
isu-isu yang mesti dipertimbangkan dengan lebih mendalam, kata Timbalan Perdana
Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Dr Wan Azizah yang juga merupakan Presiden Pakatan Harapan
(PH) berkata justeru perlu diambil iktibar dalam apa yang ingin dilakukan sama
ada dalam pilihan raya kecil atau besar.
Loading...
“Kita ada sistem demokrasi, kita ada pilihan dan kami
mahukan rakyat tahu kami cuba sedaya upaya untuk rakyat,” katanya ketika
ditemui pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2019 Parlimen
Port Dickson di PD Waterfront di sini, malam tadi.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai keputusan PRK
Semenyih yang menyaksikan kemenangan Barisan Nasional (BN) apabila berjaya
menawan semula kerusi DUN Semenyih selepas calonnya, Zakaria Hanafi memenangi
persaingan empat penjuru pada PRK kawasan itu dengan memperoleh 19,780 iaitu
majoriti 1,914 undi.
Zakaria menewaskan calon PH Muhammad Aiman Zainali, yang
memperoleh 17,866 undi, Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis
Malaysia (PSM) (847 undi) dan calon Bebas yang juga seorang aktivis masyarakat,
Kuan Chee Heng, 56, (725 undi).
Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim
berkata keputusan PRK Semenyih memberi sedikit gambaran tentang perasaan rakyat
terutamanya sentimen disuarakan masyarakat Melayu.
“Kami harus ambil kira tetapi kami harus teruskan tugas
dengan baik dan saya yakin diberikan sedikit masa rakyat akan dapat faham
mengapa kami ambil langkah-langkah yang sedang diambil dan keterbatasan kami
dalam beberapa langkah pelaksanaan program.
Anwar juga berkata corak pengundi juga penting untuk parti
itu telitikan.
Katanya dalam proses demokrasi, kami menghormati keputusan
yang dibuat rakyat dan itu merupakan hak mereka.
“Sebagai kerajaan iaitu kerajaan negeri Selangor masih kukuh
di bawah Menteri Besar Amirudin Shari dan kerajaan persekutuan di bawah Perdana
Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya juga berpendapat Malaysia harus kekal dengan semangat
perlembagaan yang telah menjanjikan kedudukan Islam dan Melayu tetapi mesti
tegas dalam memelihara keharmonian kaum dan PH harus mewakili sentimen dan
keperluan aspirasi semua kaum,” katanya.
Terdahulu, Anwar yang juga merupakan Anggota Parlimen Port
Dickson dalam ucapannya berkata kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Dr
Mahathir sedang berusaha membawa perubahan kepada rakyat bagaimanapun hasilnya
tidak mungkin dapat dilihat hanya dalam tempoh beberapa bulan. — Bernama
Selangor, Putrajaya masih kukuh bawah PH, kata Anwar
Reviewed by Me
on
16:48
Rating:
No comments: