KUALA LUMPUR — Buluh, nanas dan kelapa adalah
cadangan alternatif kepada pekebun kecil yang selama ini bergantung hanya
kepada tanaman kelapa sawit sebagai sumber pendapatan, dan bukan sebagai
pengganti.
“Kenyataan saya hanya merujuk kepada beberapa kawasan yang
bersesuaian di Pahang, yang kebetulannya mempunyai banyak buluh,” kata Menteri
Industri Utama, Teresa Kok bagi menjelaskan laporan Utusan bertajuk ‘Lupakan
Kelapa Sawit, Tanam Buluh’ yang disiarkan hari ini.
Loading...
Dalam kenyataan media hari ini, beliau menyifatkan laporan
akhbar itu sebagai tidak wajar walaupun isi kandungan laporan tersebut boleh
diterima.
Pada sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Projek The
Valley @ Bentong, Pahang, semalam, Kok berkata beliau ditanya oleh pemberita
mengenai hasrat kerajaan untuk mengehadkan perluasan penanaman kelapa sawit.
“Justeru, saya menjelaskan bahawa kerajaan berbuat demikian
sebagai antara langkah kita dalam melawan sentimen antiminyak sawit di Eropah
yang kini menjejaskan pengeksportan minyak sawit negara ke pasaran global,
khususnya negara Eropah,” katanya.
Oleh itu, Kementerian Industri Utama sedang mengambil
langkah untuk menangani pengaruh kempen antiminyak sawit di Eropah yang
mutakhir ini menjadi semakin kuat.
“Saya juga memberitahu wartawan semalam bahawa harga minyak
sawit Malaysia jatuh dengan agak teruk tahun lepas. Ini sekali gus menjejaskan
pendapatan ramai pekebun kecil.”
Oleh sebab itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
telah menasihati rakyat, termasuk kementerian saya supaya tidak terlalu
bergantung kepada satu-satu jenis tanaman.
Perdana menteri menegaskan mengenai pentingnya untuk Malaysia
mengkaji kesesuaian penanaman tanaman alternatif bagi mempelbagaikan pendapatan
pekebun kecil.
Bagaimanapun, pemilihan tanaman lain bergantung kepada
kesesuaian tempat.
“Ada tempat yang sesuai untuk tanam pokok kelapa, ada yang
lebih sesuai untuk nanas atau pokok durian. Dengan penjelasan ini, saya
berharap kekeliruan dapat dirungkaikan,” katanya.— Bernama
Tanam buluh cadangan alternatif, bukan ganti sawit, kata Teresa Kok
Reviewed by Faceless
on
16:27
Rating:
No comments: