Tulisan ini hanyalah berupa perolehan maklumat di peringkat
bawahan yang terlalu biasa didengar di mana-mana sejak akhir-akhir ini untuk
disampaikan dan didengari oleh pimpinan kerajaan di peringkat atasan.
Selepas sembilan bulan PH berkuasa, orang Melayu yang
merupakan penduduk majoriti atau pemegang taruh sekitar 65 peratus daripada
seluruh rakyat negara ini jelas masih tidak gembira terhadap kerajaan dalam
konteks menjaga kepentingan Melayu, Bumiputera dan Islam.
Loading...
Kerajaan PH dengan slogan Malaysia Baru dilihat terlalu
longgar dan toleran dalam perkara tersebut.
Perkara awal yang membuatkan orang-orang Melayu tersentak
dengan kerajaan baru pimpinan Tun Mahathir Mohamad ialah perlantikan bukan
Melayu menjadi Menteri Kewangan, Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara.
Meskipun negara ini berbilang kaum dan sesiapa saja yang
layak boleh memegang jawatan tersebut, tetapi pemegang saham majoriti 65
peratus tadi jelas tidak gembira, malah tidak menyangka Tun Mahathir yang
dikenali sebagai “pemimpin Melayu Ultra” sanggup menyerahkan jawatan penting
itu kepada Lim Guan Eng, Tommy Thomas dan Richard Malanjun.
Di situlah bermulanya sentimen Melayu dan Islam berkocak
dalam negara ini. Ia kemudian tambah membara apabila UMNO dan Pas setuju untuk
bekerjasama untuk berlawan dengan PH atas sentimen yang sama.
Dalam hal ini, PH tidak boleh menyalahkan UMNO dan Pas
kerana memainkan sentimen kaum dan agama kerana sebagai parti politik yang
matlamatnya untuk meraih sokongan dan menumbangkan lawan, bodohlah jika mereka
tidak menelan hidangan enak yang sedia terbentang di depan mata.
Memang suatu ketika dahulu jawatan Menteri Kewangan dan
Peguam Negara pernah dipegang oleh bukan Melayu, tetapi keadaan pada waktu itu
tidak lagi sama dengan sekarang.
Dengan orang Melayu masih ketinggalan dalam bidang ekonomi
dan perniagaan, meskipun setelah lebih 60 tahun merdeka, pada tanggapan orang
Melayu, menyerahkan jawatan Menteri Kewangan kepada bukan Melayu bermakna
menyerahkan satu kuasa politik tambahan kepada kaum tersebut.
Ada yang berhujah, dengan berpuluh tahun sebelum ini jawatan
Menteri Kewangan dipegang oleh orang Melayu pun, namun bukan Melayu berjaya
menguasai sekitar 70 peratus ekonomi dan perniagaan dalam negara ini, tentulah
penguasaan mereka lebih melebar lagi apabila jawatan penting itu dipegang oleh
Guan Eng.
Memburukkan lagi ialah bilamana Tun Mahathir juga
menyerahkan beberapa kementerian penting lain kepada bukan Melayu juga.
Bagi orang Melayu, jawatan Menteri Kewangan khususnya dan
lain-lain kementerian kanan adalah hak Melayu dan ia seperti suatu ketuanan
bagi mereka.
Begitu juga dengan Peguam Negara, suatu ketika dahulu ia
turut pernah disandang oleh bukan Melayu, tetapi ketika itu isu-isu mahkamah
melibatkan kepentingan Melayu dan Islam tidaklah sebanyak seperti sekarang.
Sekarang ini dengan pelbagai isu melibatkan Melayu dan Islam
menjadi persendaan serta momokan dan kes-kes saman berkaitannya sudah menjadi
lumrah di mahkamah, orang Melayu akan melihat masih ada harapan untuk mereka
dilindungi jika jawatan Peguam Negara disandang oleh Melayu juga.
Sama seperti jawatan Menteri Kewangan dan kementerian kanan,
jawatan Peguam Negara juga adalah suatu ketuanan bagi orang-orang Melayu.
Sama halnya dengan Ketua Hakim Negara, ia berkait rapat
dengan pentingnya jawatan Peguam Negara serta mahkamah. Lantaran itu, dalam
sejarah negara, hanya sekali jawatan Ketua Hakim Negara pernah disandang oleh
bukan Melayu iaitu James Beveridge Thomson antara tahun 1963 hingga 1966.
Selepas itu, semua jawatan Ketua Hakim Negara adalah disandang oleh orang
Melayu.
Bermakna kerajaan sebelum ini sedar pentingnya jawatan Ketua
Hakim Negara itu dalam konteks menjaga kepentingan Melayu kerana ia turut
merupakan ketuanan bagi orang-orang Melayu.
Yang membuat ramai orang Melayu, sama ada penyokong PH atau
penyokong UMNO dan Pas, tidak berapa faham ialah apakah mustahaknya bagi Tun
Mahathir menyerahkan ketiga-tiga jawatan penting itu kepada bukan Melayu
sedangkan ketika Melayu memegang jawatan itu sebelum ini, orang bukan Melayu
tetap boleh menerimanya dengan baik?
Apakah perlantikan itu disebabkan DAP menang lebih banyak
kerusi Parlimen berbanding Bersatu atau bertujuan untuk menghargai sokongan
Melayu yang berjaya menumbangkan BN?
Kaum bukan Melayu secara umumnya sedar mereka adalah kaum
minoriti yang terkepung dengan hak-hak istimewa orang Melayu serta kedudukan
Islam sebagai agama rasmi. Sebab itu, mereka boleh menyesuaikan diri dan tidak
keterlaluan dalam menuntut hak-hak mereka, kecuali segelintir golongan yang
ekstrem saja.
Tidak pernah sebarang kekecohan ditimbulkan oleh bukan
Melayu disebabkan jawatan-jawatan penting dalam kerajaan dipegang oleh orang
Melayu.
Walaupun kerajaan PH dan Tun Mahathir masih boleh berhujah
bahawa perlantikan itu berdasarkan kelayakan dan tiada kena-mengena dengan
sesuatu kaum, bagaimanapun mereka haruslah sedar realiti negara ini serta
kedudukan Melayu dan Islam yang sudah termaktub dalam perlembagaan.
Sebarang tindakan yang dilihat meminggirkan orang Melayu
atau mengusik ketuanan mereka, ia sentiasa akan mengundang sentimen kaum dan
agama oleh pihak lawan serta kian menghakis sokongan mereka kepada kerajaan.
Orang Melayu pula memang mudah tersentuh kalau perkara itu diusik.
Memang orang Melayu juga mahu perubahan dalam PRU14 lalu,
tetapi jika mereka tahu jawatan Menteri Kewangan, Peguam Negara dan Ketua Hakim
Negara bakal diserahkan kepada bukan Melayu, sudah tentu mereka tidak sedia
bersama-sama dengan PH untuk menumbangkan BN.
Tidak dinafikan, keputusan PRK di Cameron Highlands dan
Semenyih baru-baru ini adalah lantunan daripada kekecewaan orang Melayu
terhadap kerajaan yang bukan saja disebabkan gagal menunaikan banyak janji
manifestonya, tetapi juga kerana usikan terhadap ketuanan Melayu itu.
Orang Melayu akan terus bersatu menolak kerajaan selagi
tiada jaminan berhubung hak dan kedudukan mereka. Secara majoritinya, orang
Melayu masih belum sedia ketuanan mereka dicerobohi.
*Shahbudin Husin adalah penulis buku kritik politik
terkenal. Artikel adalah pendapat peribadi beliau yang tidak semestinya
mewakili pendirian kami.
Peringatan Untuk PH: Orang melayu belum bersedia ketuanan mereka diusik
Reviewed by Faceless
on
01:16
Rating:
No comments: