Bicara kes pecah amanah Najib, Irwan bermula tahun depan

Foto Astro Awani

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 48 hari untuk perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah yang didakwa atas enam pertuduhan pecah amanah wang berjumlah RM6.6 juta.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan ia bermula pada 6 Januari tahun depan sehingga April 2020 untuk perbicaraan.


Loading...

Tarikh yang ditetapkan ialah 6 Januari hingga 9 Januari, 20 Januari hingga 23, 27 Januari hingga 30 Januari, 3 Februari hingga 6 Februari, 10 Februari hingga 13 Februari, 17 Februari hingga 20 Februari, dan 24 Februari hingga 27 Februari 2020.

Tarikh lain yang turut ditetapkan ialah 2 Mac hingga 5 Mac dan 9 Mac hingga 12 Mac.

Manakala bagi April, tarikh yang ditetapkan ialah 6 April hingga 9 April, 13 April hingga 16 April, 20 April hingga 23 April dan 27 April hingga 30 April 2020.

Sebelum ini perbicaraan kes itu sudah ditetapkan pada Julai depan bagaimanapun tarikh itu dilapangkan bagi memberi laluan kepada kes berhubung dana SRC International Sdn Bhd membabitkan Najib untuk selesai terlebih dahulu.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Jamil Aripin.



Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Harvinderjit Singh hadir bagi mewakili Najib, manakala Irwan Serigar yang dikecualikan kehadiran diwakili peguam Datuk K Kumaraendran.

Kedua-dua pihak itu tidak mengemukakan sebarang bantahan berhubung tarikh perbicaraan.

Bagi pertuduhan pertama, Najib dan Mohd Irwan Serigar didakwa bersama-sama sebagai penjawat awam iaitu Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan masing-masing dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta itu iaitu sejumlah RM1.2 billion milik kerajaan Malaysia melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta berkenaan.

Mengikut pertuduhan kedua, Najib dan Mohd Irwan Serigar didakwa bersama-sama atas jawatan sama yang diamanahkan dengan harta sejumlah RM655 juta milik Kerajaan Malaysia, melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta berkenaan.

Bagi pertuduhan ketiga mereka didakwa melakukan pecah amanah iaitu sejumlah RM220 juta, peruntukan di bawah ‘Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 021700 KL International Airport Berhad (KLIAB)’ milik Kerajaan Malaysia.

Kedua-dua tertuduh juga didakwa bersama-sama melakukan pecah amanah sejumlah RM1.3 bilion, peruntukan di bawah ‘Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 020500 Subsidi Dan Bantuan Tunai’ milik Kerajaan Malaysia.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam, mereka didakwa bersama-sama melakukan pecah amanah sejumlah CNY1,950,000,000 (bernilai RM1,261,065,000) dan RM2 bilion milik Kerajaan Malaysia.



Najib dan Irwan Serigar dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 21 Disember 2016 bagi pertuduhan pertama dan kedua, pada 3 Ogos 2017 bagi pertuduhan ketiga, manakala pertuduhan keempat hingga keenam masing-masing pada 10 Ogos 2017, 23 Ogos 2017 dan 18 Disember 2017 .

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. - Harian Metro
Bicara kes pecah amanah Najib, Irwan bermula tahun depan Bicara kes pecah amanah Najib, Irwan bermula tahun depan Reviewed by Faceless on 22:07 Rating: 5

No comments:

Loading...
loading...
Powered by Blogger.