TAIPING — Bapa seorang pelajar Malaysia yang maut
selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 23 pangsapurinya di Sydney, Australia
meminta orang ramai supaya tidak mempercayai berita di laman sosial yang
mendakwa anaknya Amirul Ashraff jatuh dari pangsapuri akibat tekanan dalam
pembelajaran.
“Saya minta orang ramai supaya jangan membuat spekulasi
tidak betul tetapi doakanlah urusan penghantaran dan pengebumian anak saya
dipermudahkan.
“Saya reda dengan ketentuan Allah yang menentukan kematian
anak saya walaupun Amirul Ashraff, 22, menjadi harapan saya dalam keluarga,”
kata bekas pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Md Azhar Hasbullah,
48.
Loading...
Beliau berkata Amirul Ashraff merupakan anak sulung daripada
tiga adik beradik dan menjadi harapan serta contoh kepada adik-adiknya yang
lain.
“Saya sekeluarga terasa dengan kehilangannya namun itu semua
adalah takdir Allah,” katanya ketika ditemui Bernama dirumahnya di Rancangan
Perkampungan Tersusun Tekah, Asam Kumbang di sini hari ini.
Semalam Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam satu kenyataan
mengesahkan bahawa pelajar tajaannya itu yang merupakan penuntut tahun akhir
Ijazah Kejuruteraan Mekatronik di Universiti Technology Of Sydney, Australia
maut disebabkan tergelincir dari bangunan.
Md Azhar, berkata anaknya tidak menyatakan mempunyai masalah
dan ceria ketika dia menghubunginya selama 10 minit untuk mengucapkan selamat
ulang tahun kelahiran anaknya itu pada 30 Julai lalu.
“Malah rakan-rakannya ada menghubungi saya semalam dan
memaklumkan Amirul Ashraff tidak ada masalah dan arwah juga menyambut hari
lahir dengan rakan-rakannya,” katanya.
Md Azhar berkata kali terakhir Amirul Ashraff pulang bercuti
di kampungnya ialah pada September tahun lepas.
“Semasa pulang bercuti pun dia kelihatan ceria walaupun
pendiam dan gemar menggunakan komputer yang dibeli dengan harga RM4,000 untuk
bermain game (permainan komputer). Masa itu tidak ada apa-apa perubahan pada
dirinya.
“Saya juga meminta anak saya menduduki ujian di sebuah
sekolah di sini untuk mengambil lesen memandu kereta,” katanya.
Beliau berkata Amirul Ashraf turut kelihatan ceria semasa
dia sekeluarga menghantarnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(KLIA) untuk pulang ke Australia pada 24 Februari lalu.
Md Azhar berkata beliau dimaklumkan oleh pegawai Mara bahawa
jenazah Amirul Ashraff akan dibedah siasat pada hari ini.
“Difahamkan saya akan perolehi laporan kematiannya dalam
tempoh tiga hingga empat hari,” katanya.
Menurutnya semua urusan membawa pulang jenazah Amirul
Ashraff akan diuruskan oleh Mara.
Katanya jenazah Amirul Ashraff akan dikebumikan di tanah
perkuburan Islam di Asam Kumbang apabila tiba di sini nanti. — Bernama
Bapa nafi pelajar jatuh bangunan hadapi tekanan
Reviewed by Faceless
on
05:19
Rating:
No comments: