Hakim Yong Zarida Sazali menetapkan tarikh tersebut selepas peguam yang mewakili Sulaiman, 38, mengemukakan dokumen yang tidak lengkap pada prosiding hari ini.

Beliau hadir ke mahkamah dengan memakai tengkolok di kepala dan ditemani oleh peguamnya, Muaz Zafar.
Akhbar Kosmo! sebelum ini melaporkan, Sulaiman dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di sini pada 26 Julai lalu atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berumur 17 tahun, lapor Kosmo Online.
Tertuduh yang dikenali dengan nama Leman Raja Lawak bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Yong Zarida Sazali.


Mengikut pertuduhan pertama, Sulaiman, didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memegang tangan mangsa di dalam sebuah kereta di kawasan perumahan di Puchong, pada 3.30 petang 6 April lalu.
Tertuduh juga dituduh melakukan kesalahan serupa ke atas mangsa sama dengan cara berbeza di Taman Putra Permai Kota Perdana, Seri Kembangan, kira-kira pukul 4 petang pada hari sama.
Bagi kedua-dua kesalahan itu, Sulaiman didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.
Sebelum itu, Sulaiman yang kini pengarah urusan sebuah syarikat produksi turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 24 Julai lalu atas dua pertuduhan mencabul kehormatan seorang pekerja wanitanya November tahun lalu.