Perbicaraaan Najib: Intipati pada 13 Ogos, kes pendakwaan hampir tamat


Mahkamah Tinggi pada perbicaraan SRC International Sdn Bhd membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak minggu ini diberitahu bahawa keberadaan ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho, atau dikenali sebagai Jho Low dan bekas ketua pegawai eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil masih menjadi persoalan.

Mereka disyaki bersembunyi termasuk di Hong Kong, Macau, Thailand, Indonesia, Myanmar dan China dan notis merah yang dikeluarkan Interpol ke atas mereka masih berkuat kuasa kerana mereka masih belum diberkas.

Ini dipaparkan Penolong Kanan Pesuruhjaya Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Husain semasa perbicaraan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 13 Ogos.
Loading...

Kes pendakwaan itu hampir tamat apabila Rosli adalah saksi akhir memberi keterangan dalam perbicaraan itu.

HARI Ke-52 (13 Ogos):

Rosli iaitu pegawai penyiasat kes berkenaan memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa siasatan SPRM menunjukkan bahawa Nik Faisal meninggalkan negara ini pada 7 Mei, 2018 menerusi tiga terminal iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Subang manakala Jho Low berlepas pada 29 Mei 2015 menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Saksi pendakwaan ke-57 berkata, usaha untuk menjejaki kedua-dua mereka di pejabat dan kediaman mereka tidak berjaya.

"Kami juga pergi ke pejabat Nik Faisal di Shah Alam pada 21 Mei 2018. Saya berjumpa dengan seorang pekerja di sana dan dia memberitahu kami bahawa Nik Faisal telah ke luar negara dan tidak pulang.


"Usaha untuk mengesan di kediamannya di Bangsar juga tidak berjaya. Pegawai saya pergi ke rumah Jho Low di Tanjung Bungah, Pulau Pinang gagal menemuinya dan usaha untuk mengesani bapanya juga sia-sia sahaja,” katanya.

Beliau berkata, siasatan menunjukkan bahawa Nik Faisal dan Jho Low tidak kembali ke Malaysia sejak itu.

Rosli, 54, berkata, waren tangkap ke atas Nik Faisal dan Jho Low dikeluarkan oada 22 Mei 2018 untuk mendapatkan bantuan Interpol dalam pemburuan kedua-dua mereka.

Interpol juga mengeluarkan notis merah ke atas kedua-duanya pada 11 Jun 2018 dan ia diedarkan ke negara yang mereka disyaki bersembunyi termasuk Hong Kong, Macau, Thailand, Indonesia, Myanmar dan China.

Beliau berkata, pasport Malaysia Jho Low dibatalkan pada 14 Jun 2018 manakala pasport Nik Faisal dibatalkan pada 25 Julai, 2018.

Rosli berkata, Jho Low juga memegang pasport St Kitts dan Nevis di Amerika Selatan dan maklumat Interpol menunjukkan bahawa Jho Low mempunyai status PR di sana.

Beliau juga memberi keterangan bahawa SPRM telah menemui Nik Faisal dan Jho Low, di luar negara dan merekodkan kenyataan mereka.

"Kami merekodkan kenyataan Nik Faisal di Jakarta pada 17 Okt, 2015 dan Jho Low di Abu Dhabi pada 27 Nov tahun yang sama,” katanya ketika membalas pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff semasa pemeriksaan ketua.

Selepas mencatatkan kenyataan mereka, Rosli berkata, SPRM yakin bahawa Nik Faisal dan Jho Low akan pulang ke Malaysia untuk memberi bukti.

Ishak: Kenapa anda tidak meletakkan mereka dalam jaminan bon?

Rosli menjawab “Kerana mereka telah memberi komitmen, kami yakin mereka akan pulang ke Malaysia dan akan memberi kerjasama dalam perbicaraan itu. Itulah sebab kami tidak meletakkan mereka di bawah jaminan bon.”

Rosli memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa notis merah yang dikeluarkan oleh Interpol ke atas Jho Low dan Nik Faisal masih berkuat kuasa kerana kedua-duanya masih belum diberkas.


Menurutnya, notis merah itu dikeluarkan pada 11 Jun 2018 oleh Interpol menerusi Biro Pusat Kebangsaan Bukit Aman (NCB) bertujuan untuk mengingatkan pihak berkuasa mengenai usaha untuk mencari dan menangkap mereka untuk ekstradisi bersama-sama dua lagi individu, Mohammed Redzuan Adamshah dan Toh Lian Seng.

"Konsul Besar Malaysia di Hong Kong, Datuk Tengku Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin juga menandatangani surat permohonan itu daripada pengarah Imigresen Malaysia ketika itu untuk membatalkan pasport Jho Low.

"Tujuan surat itu adalah bagi membolehkan pihak berkuasa Hong Kong menangkap ahli perniagaan itu kerana memasuki negara berkenaan secara haram,” katanya.

Saksi itu juga mengesahkan bahawa satu e-mel dihantar ke NCB Bukit Aman ke rakan sejawatannya di Hong Kong meminta pihak berkuasa Hong Kong menangkap Jho Low dan seorang lagi individu, Eric Tan Kim Loong, yang dipercayai berada di Maggie & Rose Family Members Club di Repulse Bay.

Bagaimanapun, menurut Rosli, pihak berkuasa Hong Kong tidak menangkap mereka.

Rosli berkata, usaha untuk menjejaski Jho Low dan Nik Faisal, SPRM membuat pengumuman dalam media tetapi tiada tindakbalas.

Siasatan juga menunjukkan bahawa Nik Faisal dan Jho Low tidak pernah kembali ke Malaysia sejak mereka keluar kali terakhir, katanya.

HARI KE-53 (14 Ogos):

Perbicaraan ditangguhkan kerana bekas Perdana Menteri mendapat jangkitan di kedua-dua matanya.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali juga membenarkan permohonan ketua peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menangguhkan perbicaraan atas dasar perubatan dan ia tidak ditolak oleh pihak pendakwa raya.

Muhammad Shafee memohon penangguhan memandangkan anak guamnya diberi tiga hari cuti sakit sehingga Jumaat.

Mahkamah menetapkan Isnin depan (19 Ogos) untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh perbicaraan yang lain.

Pendakwaan sepatutnya diteruskan dengan pemeriksaan ketua Rosli pada hari ke-53 perbicaraan.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu kes penyalahgunaan kedudukannya dan tiga kes pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta. - Bernama
Perbicaraaan Najib: Intipati pada 13 Ogos, kes pendakwaan hampir tamat Perbicaraaan Najib: Intipati pada 13 Ogos, kes pendakwaan hampir tamat Reviewed by Faceless on 20:28 Rating: 5

No comments:

Loading...
loading...
Powered by Blogger.