Isteri perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali
melancarkan Kempen Tabung Pahlawan (KTP) 2019 bertujuan mengumpul dana bagi
membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta ahli keluarga mereka.
Beliau, yang merupakan penaung KTP 2019, berkata jasa dan
pengorbanan setiap pahlawan perlu dikenang setiap masa kerana mereka berkorban
nyawa untuk keamanan negara.
Loading...
“Kepada pahlawan yang berada di merata tempat, saya ucapkan
tahniah dan setinggi penghargaan serta didoakan semua berada dalam aman damai,”
katanya menerusi rakaman video yang ditayangkan pada Majlis Pelancaran KTP 2019
di Wisma Perwira di sini, malam tadi.
Turut hadir Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, Panglima ATM,
Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul
Hamid Bador.
Sementara itu, Mohamad Sabu, ketika menyampaikan ucapan,
berkata Kementerian Pertahanan menyasarkan kutipan sebanyak RM6 juta tahun ini
dengan hasil kutipan tabung berkenaan akan diagihkan kepada veteran ATM.
Beliau berkata antara yang akan menerima manfaat menerusi
kutipan tabung itu adalah veteran kelainan upaya, balu dan anak-anak dalam
kategori orang kurang upaya (OKU) serta veteran yang terlibat dalam musibah.
“Saya menyeru semua pihak menyalurkan sumbangan derma ikhlas
sebagai tanda terima kasih atas hadiah keamanan dan keselamatan yang kita
nikmati pada masa ini.
“Sememangnya wang ringgit bukanlah tukaran kepada keamanan
namun ia sebagai lambang kita berbahasa kepada mereka yang telah berbudi,”
katanya.
Tabung Pahlawan ditubuhkan sekitar 1950 dan diteruskan
sehingga kini untuk mengumpul dana bagi membantu veteran ATM.
Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada Tabung
Pahlawan 2019 menerusi akaun Affin Bank 1059-5000-3201 di atas nama Tabung
Rayuan Hari Pahlawan. — Bernama
Korban nyawa demi negara, isteri PM rayu sumbang Tabung Pahlawan
Reviewed by Faceless
on
17:10
Rating:
No comments: