Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa
bekas Perdana Menteri Najib Razak menerima hadiah jam tangan mewah daripada
pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif PetroSaudi International Limited
(PSI) Tarek Obaid.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim
Halmi, 49, memaklumkan perkara itu ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa
Raya Kanan, Gopal Sri Ram pada hari ke-14 perbicaraan kes Najib membabitkan
dana 1MDB.
Loading...
Sri Ram: Tarek beri hadiah kepada tertuduh? Hadiah apa?
Shahrol Azral: Beliau memberi jam tangan.
Sri Ram: Jam jenis apa?
Shahrol Azral: Tidak biasa melihatnya tetapi nampak mewah.
Shahrol Azral berkata Najib mendapat hadiah itu ketika
menghadiri mesyuarat bersama Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB bersama PSI di
Hotel Four Seasons London pada 16 Mei 2011.
Katanya, selain dirinya, Najib, Pengerusi BOD 1MDB, Che Lodin Wok Kamaruddin dan Tarek, Pengarah
PSI, Patrick Mahony serta ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho
Low turut menghadiri mesyuarat tersebut.
Shahrol Azral berkata semasa mereka di London terdapat tiga
mesyuarat berlainan iaitu mesyuarat BOD 1MDB di Hotel Hilton, mesyuarat
PSI-1MDB-Najib di Hotel Four Seasons dan perjumpaan PSI-1MDB BOD termasuk makan
tengah hari di pejabat urusan PSI telah dilangsungkan.
“Setelah beberapa bulan perbincangan antara 1MDB yang
diwakili oleh peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan dengan PSI dengan bantuan Jho
Low, akhirnya satu cadangan untuk menukar bentuk pelaburan 1MDB dalam PSI dari
bentuk Nota Murabaha kepada pegangan ekuiti dalam syarikat milik PSI iaitu
PSOSL (PetroSaudi Oil Services) telah dicapai.
“1MDB akan membeli 49 peratus saham syarikat PSOSL dengan
menukarkan nilai Nota Murabaha yang pada masa itu adalah lebih kurang AS$2,222
juta mengambil kira tambahan nilai kupon yang belum dibayar oleh PSI kepada
1MDB,” kata saksi pendakwaan kesembilan itu ketika membaca penyataan saksi
dalam perbicaraan tersebut.
Tambahnya, penukaran bentuk pelaburan ini adalah bertujuan
supaya wang asal pelaburan 1MDB ke dalam PSI yang berjumlah AS$1,830 juta boleh
dikembalikan secara berperingkat untuk digunakan dalam projek-projek 1MDB yang
lain.
“Oleh kerana isu ini banyak dibincangkan dalam mesyuarat
BOD, apabila resolusi pekeliling pengarah (DCR) untuk penukaran diedarkan, ahli
BOD semua setuju kerana ini adalah satu langkah ke hadapan dalam resolusi isu
PSI ini walaupun pertukaran ini tidak ada dibentangkan dalam mana-mana
mesyuarat BOD.
“Semua urusan pengambilalihan PSOSL ini diuruskan oleh
Jasmine Loo atas pengalaman beliau dalam hal-hal korporat dari segi
undang-undang. Jho Low juga ada memberi ‘talking points’ mengenai transaksi ini
dan saya berpuas hati kerana ia memberikan ‘comfort’ yang wang 1MDB dalam PSI
akan dibawa pulang melalui penjualan ekuiti PSOSL kepada fund Bridge Partners
International Investments Limited yang akan memberi pulangan dan tunai kepada
1MDB,” katanya.
Beliau berkata Bridge Partners ini sepatutnya akan
memasukkan ekuiti PSOSL ini dalam satu dana sebut harga yang membolehkan 1MDB
menjual sebahagian daripada dana ini untuk membawa pulang tunai.
“Transaksi jual-beli ini berlaku dalam masa yang singkat
kerana memang dirancang begitu. Tujuan dan matlamat penjualan Nota Murabaha ini
adalah untuk membawa pulang dana 1MDB.
“Kerana penglibatan Jho Low sebagai penasihat yang
dipercayai kepada Najib, saya percaya yang Najib tahu dan setuju dengan
cadangan ini yang memang bagi saya, satu penyelesaian yang elegant yang
mendatangkan manafaat kepada 1MDB dan PSI serta hubungan antara Kerajaan
Malaysia dan Arab Saudi.
“Saya tidak terlibat secara langsung dalam transaksi
pertukaran ini. Bagaimanapun, saya percaya yang Jasmine Loo sama ada secara
peribadi atau melalui Jho Low ada memberi taklimat kepada pemegang saham 1MDB
iaitu Najib. Ini berdasarkan tandatangan Najib yang memberikan kelulusan
bertulis,” katanya.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan
kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan
21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan
rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di
Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan
pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.
Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence
Sequerah.
- Bernama
Najib terima hadiah jam nampak ‘mewah’ daripada CEO PSI - Saksi
Reviewed by Faceless
on
21:08
Rating:
No comments: