Seorang saksi penting mendedahkan di Mahkamah Tinggi hari
ini bahawa modus operandi pertemuan sulit untuk membincangkan urusan 1Malaysia
Development Berhad (1MDB) bersama ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho
atau dikenali sebagai Jho Low dibuat pada waktu malam di sebuah hotel di Kuala
Lumpur.
Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, bekas pegawai khas
kepada Najib Razak berkata modus operandi bagi perjumpaan malam berlaku di mana
apabila mereka (beliau bersama Jho Low dan Datuk Azlin Alias (ketika itu bekas
Ketua Setiausaha Sulit Najib) tiba di Hotel Prince di Kuala Lumpur, mereka akan
diiringi (escort) oleh pengawal peribadi Jho Low ke bilik hotel sejurus sampai
di lobi.
Loading...
Saksi pendakwaan kelapan itu berkata kebiasaannya beliau dan
Datuk Azlin akan datang ke hotel tersebut secara berasingan.
“Nombor pendaftaran kereta kami menjadi rujukan kepada
bodyguard dan biasanya ada 1-2 orang bodyguard Melayu yang akan mengiringi
kami. Kami akan ‘dikuarantinkan’ sewaktu menunggu Jho (Jho Low) biasanya dalam
bilik suite yang mempunyai bilik, meja makan dan sofa.
"Kami biasanya menunggu 30 minit sehingga satu jam.
Walaupun kami kerap kali berjumpa di Hotel Prince tetapi perjumpaan tersebut
berlaku di bilik yang berlainan setiap kali diadakan. Apabila Jho tiba,
kebiasaannya beliau berbaju batik serta kerap kali dalam keadaan bergegas.
"Beliau juga sentiasa sampai lewat daripada masa yang
dijanjikan. Setibanya di bilik pertemuan, biasanya kami bermula dengan
cakap-cakap kosong dan Jho akan mengedarkan dokumen kepada kami dengan susunan
yang teratur bagi tujuan perbincangan,” katanya semasa membacakan penyataan
saksinya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.
Amhari Efendi berkata perjumpaan mereka adalah berkenaan
dengan arahan-arahan dan pertemuan-pertemuan sulit antara beliau, Jho Low dan
Datuk Azlin di mana Jho Low akan menghubunginya melalui pesanan ringkas telefon
bimbit untuk meminta mengaturkan pertemuan bersama Datuk Azlin.
Katanya beliau kemudian akan merujuk perkara itu kepada
Datuk Azlin untuk menyelaras masa yang sesuai.
“Perjumpaan kami selalunya berlaku pada waktu malam di
Prince Hotel Kuala Lumpur. Kerap kali pada malam perjumpaan kami, Jho akan ke
rumah Najib dahulu di Jalan Langgak Duta untuk berbincang dan mendapat
pengesahan dokumen-dokumen yang akan dibincangkan dengan kami. Perkara ini kami
tahu kerana Jho yang maklumkan sendiri kepada kami.
“Kerap kali, Jho akan email dahulu dokumen yang akan
dibincangkan sebelum perjumpaan diadakan. Namun setiap kali perjumpaan, Jho
akan membawa sendiri salinan-salinan yang diperlukan untuk pertemuan sulit
kami,” katanya.
Beliau berkata oleh sebab itu, kebiasaannya mereka tidak
akan mencetak email yang dihantar itu kerana kebiasaannya ada juga tambahan
kepada dokumen yang dibawa oleh Jho Low seperti salinan surat-surat dan
minit-minit daripada Najib.
Beliau berkata Najib sendiri tidak pernah mengarahkan beliau
dan Datuk Azlin berjumpa Jho Low bagi pertemuan malam tersebut tetapi beliau
telah menggunakan Jho Low untuk mengarahkan kami.
Katanya beliau tahu apa yang diarahkan oleh Jho Low adalah
apa yang telah dipersetujui oleh Najib kerana seperti yang telah beliau
jelaskan, ada beberapa kali Datuk Azlin atau beliau sendiri berjumpa dengan
Najib untuk mengesahkan tentang arahan-arahan yang diterima berdasarkan
dokumen-dokumen yang Jho Low bekalkan kepada kami berdua.
“Datuk Seri Najib pada kebanyakan masanya tidak
mempersoalkan arahan-arahan tersebut dan akan bersetuju untuk tindakan-tindakan
lanjut dilaksanakan.
"Email-email yang dihantar kepada saya dan Datuk Azlin
oleh Jho amat sulit dan kerapkali ia dihantar dengan alamat email yang rawak.
Saya mengesahkan bahawa alamat email yang selalu digunakan oleh Jho bagi
mengatur pertemuan dan menghantar dokumen kepada saya dan Datuk Azlin ialah
dealrainman1@gmail.com.
"Saya boleh mengesahkan ini adalah alamat email Jho
kerana tajuk-tajuk atau rumusan email ini adalah sama dengan perkara yang
dibincangkan dalam pertemuan antara kami kemudiannya. Datuk Azlin juga biasa merujuk
email Jho kepada saya dengan menyebut "dealrainman",” katanya.
Beliau berkata email-email itu akan dihantar kepadanya di
alamat amharifnd@yahoo.co.uk dan kepada Datuk Azlin di alamat
azlinalias@gmail.com. dan kebiasaannya, Jho Low akan menghantar email ditujukan
kepada Datuk Azlin dan disalinkan kepadanya (saksi).
“Selepas isu 1MDB banyak diperkatakan oleh umum, Jho kerap
kali meletakkan password pada setiap dokumen yang dilampirkan pada email
beliau. Password tersebut akan dimaklumkan kepada saya dan Datuk Azlin melalui
mesej BBM,” katanya.
- Bernama
Saksi penting dedahkan pertemuan sulit bincang 1MDB dengan Jho Low dibuat waktu malam
Reviewed by Faceless
on
05:28
Rating:
No comments: