Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menerima
Anugerah Khas Kelestarian Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) pada Upacara
Konvokesyen Komemoratif universiti itu di sini, esok.
Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Asma Ismail berkata Upacara
Konvokesyen Komemoratif adalah satu upacara istimewa diadakan pada tahun ini
sempena sambutan ulang tahun ke-50 universiti itu.
Loading...
“Tuanku Canselor, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed
Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Upacara
Konvokesyen Komemoratif pada 23 Sept bermula 10 pagi.
Konvokesyen Komemoratif ini akan menyaksikan USM memberikan
penganugerahan kepada Perdana Menteri, seorang negarawan ulung tanah air, Dr
Mahathir. Sumbangan beliau kepada negara dan masyarakat global, menjadi titik
tolak kepada USM menganugerahkan beliau dengan Anugerah Khas Kelestarian
Canselor,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak dapat menghadiri upacara
konvokesyen itu sebaliknya bakal menerima anugerah itu dalam satu upacara khas
yang akan diadakan di Istana Arau dalam masa terdekat, kata Asma.
Dalam pada itu Asma berkata, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan
untuk menganugerahkan beberapa tokoh terkemuka yang diiktiraf oleh USM semasa
Upacara Konvokesyen Komemoratif itu.
Selain Dr Mahathir, tokoh sukan negara Datuk Nicol Ann David
bakal dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan. Selain itu, Pemegang
Hadiah Nobel dalam bidang Fizik pada tahun 2014, Profesor Shuji Nakamura akan
dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains manakala mantan Pendaftar Wanita
Pertama USM Datuk Siti Mazenah Saad akan menerima Ijazah Kehormat Sarjana
Pentadbiran Awam.
Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan berangkat mempengerusikan
sidang pertama sehingga sidang keempat Upacara Konvokesyen ke-57 USM pada 24
dan 25 Sept ini.
Pada tahun ini, 6,338 graduan akan menerima ijazah
masing-masing termasuk tiga penerima Ijazah Kehormat, empat Profesor Emiratus,
508 Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 1,564 Ijazah Sarjana, 4,266 Ijazah Sarjana
Muda, dan 45 orang Diploma Kejururawatan.
Upacara konvokesyen USM bermula pada 23 sehingga 29 Sept
ini. - Bernama
Tun Mahathir terima Anugerah Khas Kelestarian Canselor USM
Reviewed by Me
on
00:10
Rating:
No comments: