Assalamualaikum, selamat sejahtera dan salam tahun baru
2020.
Terima kasih kepada semua yang hadir terutamanya pihak media
dan warga keluarga KPM.
Loading...
Ketika saya masuk ke bangunan ini sebagai menteri pendidikan
hampir 20 bulan yang lalu, saya sering membayangkan betapa beratnya
tanggungjawab memegang dua kementerian strategik di negara ini.
Dari hari pertama, saya membayangkan kontroversi demi kontroversi.
Namun, semenjak tahun 2018, KPM telah bersikap telus dengan
segala inisiatif dan progres usaha-usaha reformasi pendidikan. KPM telah
menjadi kementerian pertama yang membentangkan laporan 100 hari Pakatan
Harapan, kemudiannya kad laporan prestasi setahun (Jun 2018 - Jun 2019) dan kad
laporan untuk tahun 2019. Trend ini telah diikuti oleh kementerian-kementerian
yang lain.
loading...
Tahun 2019 kemudiannya membuktikan beberapa inisiatif yang
kita perkenalkan akhirnya membuahkan hasil. Hampir 90 peratus projek sekolah
daif yang kita usahakan, siap lebih awal. Kita paparkan progres sekolah daif
ini di laman web. Tidak pernah sebelum ini projek kerajaan begitu transparen
dan boleh diakses oleh orang awam. Dasar inklusif yang kita perkenalkan untuk
Murid Berkeperluan Khas (MBK), warga B40, anak-anak tiada dokumen serta polisi
sifar cicir semuanya memberikan makna baharu kepada ratusan ribu anak murid di
seluruh negara. Yang mana sebahagian mereka, berada dalam keadaan bahaya kerana
tidak berada di sekolah.
Inisiatif lain, yang sebahagian besar adalah untuk
mengurangkan beban guru dan seterusnya memberi semula semangat baharu kepada
warga sekolah, gerakan Malaysia Membaca serta bacaan semula Auku di Parlimen
juga adalah bukti komitmen Pakatan Harapan melakukan reformasi pendidikan.
Kita juga mahu meletakkan semula peningkatan kualiti sebagai
asas utama pendidikan. Kita harus faham kualiti pendidikan tidak boleh
diperbaharui semalaman. Terdapat banyak isu sistemik yang kompleks. Salah satu
daripadanya ialah korupsi. Umum mengetahui, banyak pihak yang mendapat kontrak
melalui kabel-kabel tertentu sebelum ini, dan KPM bekerja keras untuk
membanteras amalan ini. KPM bahkan membawa masuk Tan Sri Ambrin Buang dan
jawatankuasanya untuk memastikan terdapatnya semak imbang, dan menunjukkan
kepada umum betapa serius KPM terhadap isu ini.
Perancangan KPM untuk tahun 2020 lebih besar daripada semua
pencapaian 2019 ini. Dengan sebahagian daripada halangan-halangan sistemik ini
telah berjaya kita selesaikan, kita akan mampu melaksanakan reformasi sistem
yang lebih besar. Misalnya, pendidikan digital hanya dapat dilaksanakan jika
semua sekolah mempunyai sistem internet yang pantas dan stabil. Sebelum ini
terdapatnya monopoli dan para guru langsung tidak menggunakan platform tersebut
kerana ia terlalu perlahan dan mereka tidak mempunyai pilihan. KPM memastikan
sistem ini dibuka agar sekolah dapat memilih apakah pembekal internet yang
terbaik serta platform yang lebih sesuai untuk anak-anak mereka. Hanya setelah
ini, kita boleh fokus kepada IR 4.0 dan pendidikan Stem di sekolah.
Selain pelan digital pendidikan, perancangan tahun 2020 KPM
juga adalah untuk meningkatkan kualiti sekolah dan universiti dengan
memfokuskan guru, pensyarah, pentadbir dan penggubal dasar. Untuk guru, inilah
sebabnya mengapa KPM bekerja keras mengurangkan beban kerja yang tidak relevan
agar seterusnya kita dapat meningkatkan pedagogi. Malah Akta Pendidikan juga
akan disemak semula untuk membolehkan anak-anak kita diwajibkan menghabiskan
sekolah menengah.
Untuk universiti pula, kita akan memastikan mereka dapat
bersaing lebih kompetitif di peringkat dunia. Universiti kita perlu belajar
daripada universiti terbaik di dunia. Kerangka kebolehpasaran akan dilancarkan,
yang mana lebih banyak program yang relevan dan hubungan industri yang lebih
kuat akan menjadi keutamaan. Bacaan semula Auku akan memberi lebih autonomi
kepada universiti dan kebebasan akademik untuk meningkat kualiti. Ini termasuk
semua pembaharuan dalam program TVET kita sehingga kebolehpasaran graduan TVET
meningkat kepada 96.5 peratus.
Bagaimanapun, sebagaimana yang selalu saya tekankan dengan
pegawai saya sebelum ini, kita semua harus merubah diri kita dahulu sebelum
mengubah sekolah dan universiti. KPM harus bergerak menjadi lebih efektif dan proaktif.
Setiap program harus berorientasikan outcome based. Ketika saya mengemudi KPM,
saya selalu mengalu-alukan public private pertnership kerana saya tahu, kita
tidak dapat melaksanakan reformasi sistem ini berseorangan. Sekolah milik
komuniti, universiti milik masyarakat. Kejayaan sistem pendidikan adalah
bermakna kejayaan masyarakat. Pendidikan adalah tanggungjawab semua.
Namun sepertimana saya jelaskan pada awal, saya dilihat
menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan terutama melibatkan isu Jawi,
Internet sekolah dan isu sarapan percuma.
Bagaimanapun saya percaya saya telah meletakkan asas dan
hala tuju yang jelas untuk dituruti warga KPM. Ia terhimpun dan tersemat kemas
dalam tiga kalimah keramat, “Pendidikan untuk Semua”. Saya percaya keputusan
ini bukanlah pengakhiran, sebaliknya sebuah permulaan yang baharu. Percayalah,
reformasi negara tidak akan pernah berjaya tanpa menjadikan kebajikan rakyat
sebagai tumpuan paling utama.
Saya ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada YAB
Tun Mahathir kerana telah memberi peluang selama 20 bulan untuk saya mengemudi
KPM. Ia adalah hadiah terbaik kepada saya sebagai pendidik dan aktivis
akademia. Saya juga ingin menyatakan pendirian, sokongan dan ketaatan yang
tidak berbelah bagi kepada beliau dan parti saya, PPBM.
Di atas nasihat YAB perdana menteri, dan di atas dasar
ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti dan kerajaan, maka dengan hati
yang redha walaupun berat, saya, Maszlee Malik, dengan ini memulangkan sebagai
menteri pendidikan Malaysia, berkuat kuasa 3 Januari 2020.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian
Kami.
Sah! Dr Maszlee Malik letak jawatan - Teks Ucapan penuh peletakan jawatan
Reviewed by Faceless
on
01:27
Rating:
No comments: