Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) menangguhkan
pemulangan AS$240 juta (RM1 bilion) yang diseleweng daripada dana 1Malaysia
Development Berhad (1MDB)
Reuters, yang memetik maklumat sumber, melaporkan keputusan
itu dibuat susulan ketidaktentuan politik berikutan peletakan jawatan Perdana
Menteri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Februari lalu.
Loading...
Beliau digantikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kini
mengetuai kerajaan campuran membabitkan UMNO yang menerajui kerajaan terdahulu,
sebelum kalah pada Pilihan Raya Umum ke-18 (PRU-18), antara lain kerana skandal
1MDB.
DOJ berkata, lebih AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) diseleweng
daripada dana di bawah kawalan bekas perdana menteri merangkap bekas Presiden
UMNO, Datuk Seri Najib Razak, yang kini dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan
rasuah.
loading...
Sejak 2016, DOJ memfailkan saman sivil bagi merampas aset
sekitar AS$1.7 bilion (RM7.1 bilion) yang dibeli menggunakan dana 1MDB.
Mei lalu, AS mula memulangkan dana yang berjaya ditemui
semula, membabitkan bayaran pertama hampir AS$200 juta (RM836 juta).
Kata sumber, mengikut jadual awal DOJ, pemulangan dana
seterusnya ialah pada 19 Februari lalu tetapi pemindahan wang berkenaan tidak
berlaku berikutan isu teknikal.
“Jumlah terbabit ialah sekitar RM1 bilion tetapi sebaik Dr
Mahathir meletak jawatan, keputusan dibuat untuk menangguhkan pembayaran
berikutan ketidaktentuan mengenai apa yang akan berlaku,” katanya.
Jurucakap DOJ enggan mengulas lanjut manakala pertanyaan
kepada Kementerian Kewangan Malaysia dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, yang
tidak memberi komen.
Sumber turut memaklumkan mereka tidak pasti apa tindakan DOJ
seterusnya berhubung dana yang sepatutnya didepositkan dalam tabung khas di
Kementerian Kewangan, untuk membayar hutang 1MDB.
Penyiasat AS dan Malaysia berkata Najib menerima kira-kira
AS$1 bilion (RM4.1 bilion) dana 1MDB yang diseleweng.
Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu,
sebaliknya mendakwa diperdaya ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau
lebih dikenali sebagai Jho Low dan pegawai 1MDB lain.
Siasatan terhadap Najib hanya dimulakan selepas kekalahan
mengejut kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan UMNO pada PRU-18 dan siasatan
1MDB dibuka semula.
Goldman Sachs dan beberapa eksekutifnya adalah antara yang
didakwa atas peranan mereka mengurus dan mengendalikan tiga jualan bon
berjumlah AS$6.5 bilion (RM27 bilion) untuk 1MDB.
Goldman Sachs mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu
dan baru-baru ini, Najib memberitahu Reuters bahawa beliau mengharapkan suasana
perbicaraan lebih saksama memandangkan Dr Mahathir tidak berkuasa lagi.
Muhyiddin belum mengulas mengenai kes 1MDB secara khusus
tetapi berikrar akan memerangi rasuah.
Dua pegawai kanan di bawah pentadbiran Dr Mahathir sebelum
ini, Peguam Negara, Tommy Thomas dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, sudah meletak jawatan minggu lalu. -
REUTERS
AS tangguh pemulangan dana 1MDB kepada Malaysia
Reviewed by Faceless
on
18:12
Rating:
No comments: