Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sanggup memotong pencennya sebanyak 10 peratus dengan syarat ia digunakan untuk membantu mereka yang hilang sumber pendapatan.
Kenyataan itu dibuat susulan cadangannya semalam agar pemotongan gaji sebanyak 10 peratus dibuat terhadap mereka yang berpendapatan tinggi susulan wabak Covid-19.
"Saya sanggup dipotong sebanyak 10 peratus dari pencen saya asalkan ia digunakan untuk mengurangkan beban mereka yang telah kehilangan sumber pendapatan sama sekali.
"Saya akui kehidupan saya tidak sedikitpun terjejas kerana lockdown dan SOP yang terpaksa saya amalkan," katanya dalam satu rakaman video yang disiarkan menerusi Facebook.
Di bawah Akta Anggota Parlimen (Saraan) 1980, bekas anggota parlimen termasuk bekas perdana menteri berhak mendapat pencen setelah menamatkan perkhidmatan sekurang-kurangnya 36 bulan.
Jumlah itu bergantung tempoh perkhidmatan dan gaji yang diterima pada masa itu.
Dalam kenyataannya hari ini, Mahathir berkata adalah biasa baginya untuk mengusulkan pemotongan gaji 10 peratus terhadap dirinya, menteri, timbalan menteri, dan pegawai tinggi kerajaan apabila dia menjadi perdana menteri.
"Sekarang, gaji sudah naik berkali ganda daripada dahulu. Sementara ramai yang hilang pendapatan sama sekali, mereka yang bergaji dalam kerajaan tidak mengalami kekurangan. Dalam syarikat swasta pun tidak ada kekurangan gaji.
"Untuk mengurangkan jarak antara yang bernasib baik dan yang bernasib buruk, pemotongan 10 peratus daripada mereka yang selamat untuk memberi kepada yang tidak selamat memang wajar, ”katanya. - Mkini
No comments: