Firma guaman Shafee & Co yang mewakili Datuk Seri Najib
Tun Razak, hari ini mendakwa pendedahan Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah
Mohamad berhubung tindakan bekas Perdana Menteri itu mengarahkan laporan audit
1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipinda dengan menggugurkan nama ahli
perniagaan Low Taek Jho adalah bersifat politik.
Firma guaman itu berkata, kenyataan Madinah berhubung
pindaan berkenaan dibuat atas arahan Kabinet.
"Dengan pengakuannya sendiri, kenyataan media Ketua
Audit Negara yang disiarkan pada pagi Ahad dibuat atas arahan Kabinet.
Loading...
"Ini seperti menunjukkan terdapat pertimbangan politik
dalam mengeluarkan kenyataan media itu," katanya dalam kenyataan media
hari ini.
Shafee & Co juga berkata, kenyataan Ketua Audit Negara
itu, yang tidak disertakan dengan dokumen lain, akan memberi gambaran terdapat
percubaan untuk menutup sesuatu, yang mempengaruhi perbicaraan mahkamah kes
rasuah yang berkaitan 1MDB.
"Kenyataan media Ketua Audit Negara dibaca oleh sesiapa
saja tanpa dokumen atau testimoni berhubung 1MDB, memberi gambaran anak guam
kami cuba menutup kesalahan yang didakwa dilakukan dalam 1MDB dan (berkaitan)
Jho Low.
"Ia hanya boleh diterjemahkan sebagai percubaan untuk
mempengaruhi pendapat orang awam dan prejudis terhadap anak guam kami sebelum
perbicaraan yang juga boleh dianggap menghina mahkamah kerana terdapat unsur
percubaan prejudis terhadap pembelaan anak guam kami," kata kenyataan itu.
Firma guaman itu berkata, sebarang kenyataan yang dibuat,
terutamanya oleh Kerajaan, perlu mengambil kira hak Najib untuk mendapatkan
perbicaraan bebas tanpa pengaruh politik.
"Penting untuk diingatkan bahawa anak guam kami tidak
dihubungi oleh pejabat Ketua Audit Negara untuk mendapatkan penjelasan sebelum
mereka mengeluarkan kenyataan media itu.
"Oleh itu, anak guam kami tidak pernah diberi peluang
menjawab terlebih dahulu kepada kenyataan media Ketua Audit Negara, maka, satu
lagi pelanggaran keadilan yang berat terjadi di sini.
“Lebih membimbangkan adalah apabila pendedahan Madinah telah
dipanjangkan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
untuk siasatan,” kata firma guaman itu.
Firma guaman Shafee & Co juga memberitahu, maklumat yang
dikeluarkan daripada laporan audit 1MDB bukan perkara baru.
“Tindakan mengeluarkan maklumat berhubung kehadiran Jho Low
menghadiri mesyuarat lembaga pengarah 1MDB sudah diketahui umum sebelum laporan
Ketua Audit Negara dikeluarkan.
"Ia sudah didedahkan di Parlimen pada 21 Disember 2015
di mana Menteri Kewangan ketika itu dengan jelas menyatakan kehadiran Jho Low
di mesyuarat lembaga pengarah itu adalah sebagai mewakili Putera Turki Abdullah
yang merupakan pemilik Petrosaudi Inc.
"Kehadiran Jho Low pada mesyuarat yang dikatakan itu
juga sudah didedahkan dan dibincangkan dalam prosiding Jawatankuasa Kira-Kira
Wang Negara (PAC) pada 25 November, 2015, di mana Ketua Audit Negara ketika itu
turut hadir.
"Perlu diingatkan bahawa jawapan Parlimen dan prosiding
PAC dibuat lebih awal berbanding dakwaan mengarahkan mengeluarkan maklumat
kehadiran Jho Low dalam mesyuarat 1MDB dalam laporan audit berkenaan,"
katanya.
Shafee & Co juga berkata ia merupakan prosedur biasa
bagi pengaudit dan yang diaudit untuk berjumpa dan membuat perubahan pada
laporan.
"Ia merupakan prosedur biasa dalam proses pengauditan
apabila pengaudit dan yang diaudit berjumpa untuk membincangkan draf laporan
untuk penjelasan dan membetulkan sebarang maklumat yang tidak tepat, jika ada,
sebelum laporan itu dimuktamadkan," katanya kenyataan itu lagi. - Sinar Harian
Kenyataan Ketua Audit Negara dibuat atas arahan Kabinet
Reviewed by Me
on
15:19
Rating:

No comments: