Bekas Pengurus SME Telekom Malaysia dipenjara setahun, denda RM4.11juta


Seorang bekas Pengurus Pemasaran dan Saluran SME Telekom Malaysia dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM4.11 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi setelah didapati bersalah atas 10 pertuduhan membuat tuntutan palsu bernilai RM822,398 bermula April 2012 hingga Januari 2013.

Hakim Rozilah Salleh turut memerintahkan tertuduh, Noorazlina Shamsuddin, 44, menjalani hukuman penjara selama 35 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.
Loading...

Rozilah membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan kes keraguan munasabah di akhir pembelaan.

"Tertuduh sepatutnya bersyukur sebab Allah masih sayang dengan hukuman di dunia ini adalah bersifat sementara berbanding di akhirat.

"Saya berharap hukuman ini dapat menginsafi tertuduh dan berjaya memulakan kehidupan baharu selepas dipenjara terutama dalam membezakan antara yang betul atau tidak betul selepas ini," katanya dalam penghakimannya, lapor Kosmo! lagi.

Mengikut semua pertuduhan, Noorazlina didakwa dengan niat membuat tuntutan palsu melalui pesanan penghantaran dan invois milik dua syarikat kontraktor iaitu Core Entity Sdn. Bhd. dan Excellent Spring Sdn. Bhd. bagi kerja pemasangan kabel Unifi di beberapa lokasi yang belum dilaksanakan.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di pejabat TM MSC, Kompleks TM Cyberjaya dekat sini antara 17 April 2012 dan 2 Januari 2013.

Noorazlina didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suaman atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohammad Heikal Ismail manakala tertuduh diwakili Peguam Arik Zakri Abdul Kadir dan Ahmad Kamal Abu Bakar.
Bekas Pengurus SME Telekom Malaysia dipenjara setahun, denda RM4.11juta Bekas Pengurus SME Telekom Malaysia dipenjara setahun, denda RM4.11juta Reviewed by Faceless on 16:47 Rating: 5

No comments:

Loading...
loading...
Powered by Blogger.