Foto Berita Harian
KUALA LUMPUR — Pasukan pembelaan bekas perdana
menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd gagal
mendapatkan surat kebenaran bagi pelantikan ketua pendakwaan, Datuk Sulaiman
Abdullah, setelah Mahkamah Tinggi semalam memutuskan bahawa tiada keperluan
undang-undang bagi pendakwaan berbuat demikian.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam penghakimannya berkata
instrumen perlantikan hanya perlu ditunjukkan kepada mahkamah dan bukan kepada
tertuduh.
Loading...
Mohd Nazlan berkata mahkamah maklum bahawa ada perkara yang
kurang jelas mengenai perlantikan Sulaiman tetapi menegaskan bahawa Jabatan
Peguam Negara telah mengeluarkan kenyataan media pada 31 Ogos.
“Kenyataan media yang tertera nama Peguam Negara (AG) Tommy
Thomas yang menyatakan dengan jelas bahawa Sulaiman akan mengetuai kes ini.
“Saya menganggap permohonan ini tiada merit,” kata hakim itu
selepas menolak permohonan pembelaan supaya pendakwaan mengemukakan surat itu
kepada mereka.
Mohd Nazlan berkata surat pelantikan diklasifikasikan
mengikut Seksyen 16A Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 dan tidak boleh dipersoal di
mahkamah.
“Oleh itu, saya menolak permohonan ini,” katanya selepas
mendengar hujah yang dikemukakan oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah,
yang mewakili Najib dan Sulaiman, yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya
Kanan oleh Jabatan Peguam Negara.
Muhammad Shafee turut memaklumkan mahkamah bahawa beliau
akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan semalam.
Terdahulu, Muhamamd Shafee dalam hujahnya mempersoalkan sama
ada kenyataan media yang dikeluarkan oleh AG melantik Sulaiman untuk
mengendalikan pendakwaan jenayah mencukupi memandangkan tiada tandatangan
padanya.
Beliau juga berpendapat menjadi tugas pihak pendakwa
mengemukakan surat kuasa atau surat pelantikan kepada mahkamah dan menambah
bahawa dokumen itu merupakan prasyarat.
Sulaiman menegaskan bahawa pihak pendakwa tidak akan
mengemukakan surat pelantikan itu kerana ia telah diklasifikasikan di bawah
OSA.
“AG secara peribadi telah menjalankan pendakwaan sebelum ini
dan menyatakan secara terbuka bahawa beliau menyerahkan kes itu kepada peguam,
iaitu Sulaiman Abdullah,” katanya.
Pada 26 November, pasukan pembelaan memfailkan permohonan
untuk Sulaiman mengemukakan surat kebenaran pelantikan beliau sebagai ketua
pendakwaan dalam kes Najib.
Najib, 65, yang berada di dalam kandang tertuduh kelihatan
tenang sepanjang prosiding.
Pada 4 Julai, anggota Parlimen Pekan itu didakwa dengan tiga
pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahguna jawatannya
berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Pada 8 Ogos pula, beliau didakwa dengan tiga pertuduhan
pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama milik dana SRC. — Bernama
Najib tiada merit, ketua pendakwa kes SRC kekal
Reviewed by Faceless
on
16:41
Rating:
Reviewed by Faceless
on
16:41
Rating:

No comments: