KUALA LUMPUR — “Berazam memperbaiki sistem
pendidikan termasuk meringankan beban guru”, itu ikrar Dr Maszlee Malik apabila
dilantik sebagai Menteri Pendidikan pada Mei lalu.
Sepanjang enam bulan menerajui kementerian, anggota Parlimen
Simpang Renggam itu dihujani pelbagai kontroversi namun beliau tetap mendapat
sokongan pelbagai pihak dengan menyifatkan Maszlee berpengalaman luas dalam
bidang pendidikan.
Loading...
Bermula dengan kasut hitam pelajar, susulan keluhan daripada
ibu bapa yang mengadu mengenai kebersihan kasut putih dipakai anak mereka,
kementerian pada Oktober lalu bersetuju melaksanakan pemakaian kasut hitam
untuk murid sekolah rendah dan menengah di seluruh negara berkuat kuasa
sepenuhnya mulai 2021.
Kontroversi terbaru ialah dakwaan beliau dipetik di luar
konteks dalam isu memasukkan skandal 1MDB dalam sejarah negara.
Turut mendapat perhatian, cadangan pelajar menggunakan kolam
renang hotel untuk aktiviti mereka, yang ditolak pengusaha hotel. Walaupun
cadangan itu mengundang polemik orang ramai, namun ia merupakan antara berita
gembira diumumkan Maszlee selain mewujudkan kegiatan kokurikulum belajar
berenang yang akan diajar kepada sekolah berhampiran kemudahan kolam renang
awam.
Turut diasak sebelum itu serangan psikologi daripada netizen
apabila mereka tidak bersetuju dengan pelantikan Maszlee sebagai Presiden
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ketujuh walaupun mendapat
perkenan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Ketua Perlembagaan universiti
itu.
Bagaimanapun, bekas profesor madya di Jabatan Sains Politik
di UIAM itu akhirnya meletakkan jawatan presiden berkenaan.
Maszlee berpendapat bahawa sistem pendidikan negara perlu
disuntik dengan kaedah baharu selain tidak harus terlalu tertumpu kepada
kedudukan dan peperiksaan.
Menganggap penyenaraian nama dalam barisan 14 anggota
kabinet Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai suatu penghormatan,
Maszlee komited melakukan transformasi sistem pendidikan negara dengan
menerapkan elemen penting iaitu sistem pendidikan berteraskan teknologi dan
penekanan berkaitan Bahasa Inggeris.
Menurutnya, perkara itu menjadi fokus kementeriannya selaras
dengan aspirasi Dr Mahathir yang mahu memberi penekanan keperluan untuk
menguasai pelbagai bahasa bermula dari bangku sekolah.
Agenda memperkasakan pendidikan diteruskan kementerian
dengan pelantikan 13 individu terdiri daripada anggota akademik dan pakar untuk
menganggotai Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKDPN) pada Oktober
lalu sebagai badan bebas bagi mengkaji dasar berkenaan.
JKDPN diwujudkan susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri
pada 6 Jun lalu, mula berkuat kuasa pada Oktober 2018 sehingga April 2019 itu
berperanan memberi syor dari sudut kajian bebas melalui perspektif mereka
mengenai pelaksanaan Dasar Pendidikan Negara secara menyeluruh.
JKDPN yang dipengerusikan Presiden Pertubuhan Pentadbiran
dan Pengurusan Pendidikan Malaysia yang juga Timbalan Naib Canselor Inti-UC
Laureate International Universities, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Ahmad
Bajunid itu turut dianggotai Dr Madeline Berma dari Universiti Kebangsaan
Malaysia dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Universiti Islam Antarabangsa Prof
Datuk Dr Ab Halim Tamuri.
Menyentuh isu pembayaran semula pinjaman pendidikan, Perbadanan Tabung Pendidikan
Tinggi Nasional (PTPTN) akan melaksanakan kaedah bayaran balik pinjaman secara
progresif atau potongan gaji berjadual (PGB) bermula Januari 2019
Kaedah PGB itu akan dilaksanakan mengikut peratus potongan
daripada gaji peminjam apabila gaji mencecah RM2,000 sebulan dan peratus
potongan adalah antara dua peratus hingga 15 peratus.
Menerusi Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan
Lim Guan Eng di Dewan Rakyat baru-baru ini, Kementerian Pendidikan menerima
peruntukan terbesar iaitu sebanyak RM60.2 bilion selaras dasar kerajaan
menghasilkan suasana pendidikan yang lebih berkualiti di semua peringkat.
Peruntukan itu disambut baik pelbagai pihak antaranya
Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Datuk Mohamad Ali Hasan yang berpendapat
ia menjadi bukti bahawa kerajaan Pakatan Harapan memberi keutamaan kepada
sektor pendidikan negara. — Bernama
Ikrar baiki pendidikan, Maszlee asyik dilanda kontroversi
Reviewed by Me
on
19:22
Rating:
Reviewed by Me
on
19:22
Rating:

No comments: