Foto Astro Awani
Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH) Saifuddin Abdullah
hari ini berkata tempoh Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri tidak
pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.
Sebaliknya kata Menteri Luar itu PH cuma membuat keputusan
Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diangkat ke jawatan tersebut selepas Dr Mahathir.
Loading...
"PH cuma mempunyai keputusan dan perjanjian bahawa
selepas Tun M (Dr Mahathir), Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah perdana menteri
seterusnya. Kita tidak bincangkan tempoh kerana mereka saling memahami.
"Mereka (Dr Mahathir dan Anwar) juga adalah tokoh besar
yang seharusnya dapat menentukan waktu terbaik untuk peralihan kuasa dan
sebagainya," katanya ketika ditanya sama ada wujud perjanjian konkrit Dr
Mahathir hanya menjadi perdana menteri selama dua tahun.
Saifuddin yang juga anggota parlimen Indera Mahkota ditemui
pemberita selepas beramah mesra dan memberikan motivasi kepada pelajar
Tingkatan Enam semester dua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Astana, di
Kuantan.
Isu peralihan kuasa itu kembali timbul selepas beberapa
perwakilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berbahas pada
perhimpunan agung parti hujung minggu lalu mengusulkan agar Dr Mahathir dibenar
berkhidmat satu penggal penuh.
Sementara itu, mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK)
Parlimen Cameron Highlands, Saifuddin berkata keputusan mengenai parti yang
akan bertanding pada PRK tersebut akan dibuat pada mesyuarat Majlis Presiden,
Jumaat ini.
Beliau berkata lazimnya PH akan membenarkan parti yang sama
bertanding namun PRK Cameron Highlands agak berbeza kerana PH tidak ada rekod
menang di situ.
Kerusi tersebut sebelum ini ditandingi DAP.
Pada masa sama, Saifuddin berkata tiada permintaan daripada
parti komponen lain untuk bertanding di kerusi berkenaan.
PRK Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya
pada 30 Okt lalu, membatalkan kemenangan calon BN Datuk C. Sivarraajh selepas
berpuas hati wujud unsur rasuah untuk mendapatkan undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK itu diadakan pada 26
Januari manakala 12 Januari ditetapkan sebagai tarikh penamaan calon.
- Bernama
Tiada perjanjian Dr M jadi PM cuma 2 tahun – Menteri
Reviewed by Faceless
on
22:13
Rating:
No comments: