Foto Bernama
Polis menahan seorang lelaki bergelar datuk seri kerana
dipercayai menggunakan potret Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan Pemangku Raja
Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk membuat siling emas tanpa
kebenaran, dalam satu serbuan di Batu Caves, Selangor petang semalam.
Loading...
Ahli perniagaan yang berusia 30 tahun itu ditahan pada 7.15
malam semalam susulan laporan polis yang diterima daripada pihak Istana Abdul
Aziz sebaik menyedari pembuatan dan penjualan Gold Coin (Syiling Emas) yang
menggunakan potret berkenaan tanpa kebenaran daripada baginda berdua pada 28
Dis lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd
Wazir Mohd Yusof berkata, berikutan itu polis telah melakukan siasatan serta
risikan sebelum mendapati terdapat dua ahli perniagaan yang bergelar datuk seri
dan datuk terlibat dengan kejadian itu.
“Berdasarkan risikan yang dilakukan, polis kemudian berjaya
mengesan datuk seri berkenaan di sebuah kedai makan dan menahannya kerana
dipercayai menipu dengan melakukan pembuatan dan penjualan siling emas
menggunakan potret diraja tanpa kebenaran,” katanya kepada pemberita di
Kuantan.
Beliau berkata polis juga melakukan serbuan di sebuah rumah
dipercayai milik rakan suspek yang dipercayai turut terlibat dengan perbuatan
tersebut pada 10.30 pagi semalam, namun didapati tiada di rumah.
Siasatan mendapati lelaki yang turut bergelar datuk itu,
telah keluar negara bersama keluarganya untuk bercuti sejak 23 Dis lalu dan
semakan mendapati dia masih belum kembali ke Malaysia, katanya.
Susulan penahan itu, polis merampas sebuah katalog penjualan
siling emas itu, sekeping siling emas tertera potret Sultan Pahang dan Jata
Pahang serta sekeping siling emas tertera potret Pemangku Raja Pahang dan Jata
Pahang.
Mohd Wazir berkata hasil soal siasat yang dilakukan, suspek
mendakwa hanya mempunyai empat set buku katalog berkenaan dan satu daripadanya
telah dirampas polis semasa serbuan.
“Suspek turut mendakwa hanya membuat dua keping siling emas
itu bagi tujuan diserahkan kepada orang tengah supaya dapat dibawa menghadap
Pemangku Raja Pahang bagi mendapat perkenan dan kebenaran.
“Berdasarkan penilaian polis mendapati kos pembuatan untuk
sekeping siling emas hanya RM8,000 namun suspek menjualnya dengan harga
RM18,888.
“Siasatan lanjut berhubung perkara itu sedang dilakukan dan
polis sedang mengesan rakannya bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen
420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Ahli perniagaan bergelar datuk seri berkenaan dijangka
dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan pagi ini bagi perintah tahanan reman untuk
membantu siasatan kes itu. - Bernama
Datuk seri guna potret Sultan Pahang buat siling emas ditahan
Reviewed by Faceless
on
17:47
Rating:
No comments: