Foto oleh TMI
KUALA LUMPUR —
Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad gagal dalam
permohonan bagi mendapatkan semula pasportnya untuk menunaikan umrah, semasa
pendengaran permohonan itu di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menolak permohonan Mohd Isa
untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi tujuan mengerjakan umrah dari 10
hingga 21 Feb.
Loading...
Dalam penghakiman, Azura menegaskan walaupun Mohd Isa selaku
pemohon tidak berisiko untuk melarikan diri tetapi dia tiada keperluan mendesak
untuk menunaikan umrah.
Pada 25 Jan, Mohd Isa yang diwakili peguam Datuk K.
Kumaraendran dan Ridha Abdah Subri telah mengemukakan permohonan kepada
mahkamah untuk mendapatkan pasportnya bagi menunaikan umrah.
Terdahulu, Kumaraendran dalam hujahannya menyatakan bahawa
anak guamnya tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri dan ia diakui
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana Mohd Isa sentiasa memberi
kerjasama sepanjang proses siasatan berlangsung.
“Dari tarikh anak guam saya direman pada 15 Ogos 2017, dia
telah lima kali pergi ke luar negara, sentiasa melaporkan perjalanannya kepada
SPRM dan tiada halangan perjalanannya,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Umar Saifuddin
Jaafar yang mengendalikan pertuduhan berhujah mempersoalkan adakah permohonan
itu satu keperluan memandangkan tertuduh telah dua kali menunaikan umrah
sepanjang tahun lepas iaitu pada bulan Januari dan Mei.
“Sepanjang tempoh dari Disember 2017 hingga November 2018,
tertuduh telah beberapa kali ke luar negara termasuk dua kali menunaikan
umrah,” katanya dan menegaskan mungkin ada ada lagi permohonan lain sekiranya
mahkamah membenarkan permohonan tertuduh pada kali ini.
Umar Saifuddin berkata walaupun Mohd Isa tidak mempunyai
risiko untuk melarikan diri tetapi selepas dia menghadapi pertuduhan pada
Disember 2018 statusnya telah berbeza dan tuduhan yang dihadapi juga sangat
serius.
Pada 14 Dis 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu
pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih
RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak, oleh
Syarikat Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 50, Menara
Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC dekat sini pada 29 April 2014
mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara
maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pecah amanah, Mohd Isa dituduh mengikut
Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh
dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara
maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai
suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. —
Bernama
Isa Samad gagal dapatkan pasport untuk tunai umrah
Reviewed by Faceless
on
22:39
Rating:
![Isa Samad gagal dapatkan pasport untuk tunai umrah](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiABU8SLr711srT37noL5u57K5X1t1XSjiU-5kMJl_3K0Tb9Ax48r1hAvG5u5ue5PKpAGQf7rT2UScBgrtL-RepaDkZCydHLV_O_-r5LXlSNp1wmQkoPeO727MDOCCDDAK5iNtulXGzlI59/s72-c/isa_samad_tmi.jpg)
No comments: