China Communication Construction Co Ltd (CCCC) dipercayai
sedang mencari jalan penyelesaian terbaik dengan kerajaan Malaysia untuk
mengelakkan pembatalan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), lapor The
Star.
Sumber industri mendakwa firma milik kerajaan China itu
bersetuju untuk mengurangkan kos lebih rendah kepada sekitar RM40 bilion.
Loading...
CCCC pada awalnya dikatakan bersetuju berkongsi kos operasi
dan risiko kewangan selepas pembinaan projek berkenaan dan peranannya hanya
terhad kepada pembinaan infrastruktur.
Oleh itu, gergasi pembinaan itu terkejut apabila kerajaan
Malaysia mengatakan kos projek itu menjangkau RM81 bilion.
Ketika kerajaan menangguhkan ECRL pada Julai 2018, projek
itu telah 15 peratus disiapkan.
Dalam proses rundingan semula kemudian, sumber mendakwa CCCC
bersetuju membenarkan 40 peratus hingga 50 peratus penyertaan tempatan
berbanding hanya 30 peratus pada asalnya.
Sumber mengatakan CCCC tidak akan mengambil mudah isu
penamatan berkenaan.
Sementara itu sesetengah pihak percaya kerajaan kini sedang
membuat pertimbangan secara diplomatik.
Sumber mengatakan, CCCC dalam suratnya, masih terbuka untuk
menyelesaikan masalah itu dengan baik.
Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pampasan
bagi membatalkan kontrak ECRL jauh lebih rendah daripada hutang yang perlu
dibayar kerajaan selama 30 tahun akan datang.
Beliau bagaimanapun berkata Malaysia masih berunding dan
belum membuat keputusan muktamad.
Beberapa media membuat spekulasi bahawa kabinet memutuskan
untuk menamatkan kontrak CCCC, kontraktor utama projek ECRL pada 24 Jan.
Sabtu lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali berkata
kabinet telah memutuskan untuk menamatkan projek itu dalam mesyuarat kabinet
dua hari sebelumnya.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng kemudiannya berkata beliau
terkejut dengan kenyataan itu dan mengatakan Azmin mungkin tidak dimaklumkan
mengenai perkara-perkara tertentu yang diputuskan oleh perdana menteri.
Bagaimanapun, Lim kemudian menjelaskan beliau hanya terkejut
dengan masa pengumuman itu dan bukan kandungan pengumuman dibuat Azmin. - Malaysiakini
Kontraktor ECRL setuju kurangkan kos kepada RM40 bilion, lapor sumber
Reviewed by Faceless
on
16:58
Rating:
![Kontraktor ECRL setuju kurangkan kos kepada RM40 bilion, lapor sumber](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEieEMYpbb5-2zuHdMWHT9K4QnHVetu7JaUhOerNjY8cC0YZdnk3-4nx0jFEDsCbJull4kMKBEA7Wnh3bhjmx0B65xQBFkX19PBGquOkA7BFT43DY3VV9wp98RepjWJ9Pil3VPBwVqyTiXhz/s72-c/mahathir-ecr-china.jpg)
No comments: