KEMENTERIAN Pendidikan akan membantu masyarakat Malabari di
negara ini mendapatkan status Bumiputera bagi membolehkan mereka mendapat
tempat melanjutkan pelajaran di universiti dan pusat asasi di negara ini.
Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, isu yang berlaku
ketika ini adalah masyarakat Malabari yang sekian lama menetap di negara ini
masih dilihat sebagai India Muslim dan bukannya Bumiputera.
Loading...
Katanya, sedangkan takrifan Melayu dan Bumiputera dalam
perlembagaan kita menepati apa yang mereka ada pada hari ini iaitu mereka
Islam, berpakaian Melayu dan berbudaya Melayu, lapor Harian Metro lagi.
“Saya akan membantu membawa isu ini ke pengetahuan Perdana
Menteri dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Dalam Negeri untuk kaum
Malabari mendapatkan status sebagai Bumiputera.
“Mereka (masyarakat Malabari) memberi contoh mereka yang
berketurunan Arab, tetapi status mereka sudah menjadi Bumiputera, jadi masyarat
Malbari meminta status yang sama.
“Jadi saya berjanji untuk membantu mereka menyampaikan
perkara ini ke peringkat lebih tinggi terutamanya Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat
bersama Jemaah Malabar Muslim Johor yang mewakili kaum Malabari di Simpang
Renggam, hari ini.
Maszlee berkata, perjuangan mereka mahu mendapatkan status
Bumiputera sudah lama dilakukan oleh masyarakat itu yang ramai menetap di
Johor.
“Anak daripada masyarakat Malabar hidup dan menyambung
pelajaran mereka selama ini sebagai India Muslim, kecuali ada daripada mereka
yang sudah berkahwin dengan Melayu.
“Jadi status mereka sebagai India Muslim tidak melayakkan
mereka mendapatkan bantuan daripada MARA atau melanjutkan pengajian ke Giat
MARA atau pusat asasi lain,” katanya.
Katanya, pada peringkat permulaan kaum Malabari meminta
mereka diberi kelayakan memasuki Universiti Teknologi MARA (UiTM), namun akta
sedia ada tidak membenarkan.
“Asalnya, mereka minta masuk ke UiTM, tetapi selepas saya
membuat semakan, kita ada akta yang tidak memasukkan kaum Malabari, jadi mereka
tidak dapat masuk.
“Saya pun tidak boleh melanggar undang-undang. Saya lihat
isu ini satu sahaja, mereka tidak dilihat sebagai Bumiputera,” katanya.
Bantu masyarakat Malabari dapat status Bumiputera, bawa permohonan kepada PM
Reviewed by Faceless
on
18:43
Rating:

No comments: