DAP Sabah sepakat sokong keputusan Shafie


KOTA KINABALU — DAP Sabah sepakat berada di belakang Ketua Menteri Datuk
Seri Mohd Shafie Apdal selaku ketua kepimpinan kerajaan negeri dan akan menyokong apa sahaja keputusan dibuat berhubung pendirian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk melebarkan sayap ke Sabah.

Pengerusi DAP Sabah Datuk Stephen Wong Tien Fatt berkata partinya yakin Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkeupayaan mengendalikan isu itu dengan baik.

Loading...
“Kami tahu beliau (Mohd Shafie) mampu mengendalikan isu ini dan kami sudah tentu akan berada di belakang beliau dalam apa juga keputusan yang dibuat (mengenai kemasukan Bersatu ke Sabah),” katanya.

Stephen yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran DAP Kota Kinabalu di sini, hari ini.


Turut hadir memeriahkan rumah terbuka itu ialah Penasihat DAP Lim Kit Siang, Setiausaha DAP Sabah Chan Foong Hin dan Ketua Wanita DAP Sabah Jannie Lasimbang.

Stephen diminta mengulas pengumuman Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung persetujuan Bersatu untuk menubuhkan cawangan di Sabah.

Pada Jumaat, Dr Mahathir berkata keputusan berkenaan dibuat selepas anggota Umno Sabah yang bertindak keluar parti tidak mahu menyertai Warisan, sekutu Pakatan Harapan (PH).

Mengulas lanjut, Stephen berkata, kemasukan Bersatu ke Sabah dilihat mampu memberi kesan kepada PH, namun, DAP menyedari keputusan Bersatu itu tidak boleh dihalang kerana ia adalah hak mereka.

Bagaimanapun, Stephen berkata, DAP Sabah tidak bersetuju dengan tindakan Bersatu mengambil bekas pemimpin Umno menyertai parti itu, dan buat masa sekarang, beliau belum dapat memberi gambaran bagaimana kerjasama antara DAP dan Bersatu sebagai parti komponen PH di Sabah kelak.

Sementara itu, Lim tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu sebelum mendengar kenyataan daripada Mohd Shafie.

Terdahulu, seramai 200 anggota dan Parti Bersatu Sabah (PBS) cawangan Matunggong menyerahkan borang keahlian menyertai DAP Sabah kepada Lim dan Stephen.

Di Tawau, Ketua Penerangan Wira Warisan, Sarifuddin Hata menyarankan agar Bersatu memikirkan semula hasrat untuk mengembangkan sayap parti ke Sabah.

Sarifuddin yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah berkata saranannya itu berasaskan kepada janji parti itu bersama Warisan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

“Kita berharap Pengerusi Bersatu memikirkan kembali perkara tersebut (bertapak di Sabah),” katanya ketika ditemui pemberita pada Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Parlimen Kalabakan serta Dewan Undangan Negeri Merotai hari ini.

Menurutnya, Warisan bersedia menerima sekiranya ada wakil-wakil rakyat Sabah di blok pembangkang yang mahu menyertai parti sekali gus bersama dalam kem kerajaan.

“Kita persilakan mereka (wakil rakyat ) dari parti lain menyertai kita, tiada halangan untuk menerima mereka yang betul-betul ingin bersama dalam agenda kita (Warisan) membangunkan negeri dan negara amnya,” kata Adun Merotai itu. — Bernama
DAP Sabah sepakat sokong keputusan Shafie DAP Sabah sepakat sokong keputusan Shafie Reviewed by Me on 16:09 Rating: 5

No comments:

Loading...
loading...
Powered by Blogger.