Foto oleh NST
KUALA LUMPUR — Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir
Mohamad hari ini berkata parti itu bersetuju untuk menubuhkan cawangannya di
Sabah bagi membolehkan bekas anggota Umno Sabah menyertainya.
Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri, berkata keputusan itu
dibuat selepas anggota Umno Sabah yang bertindak keluar parti tidak mahu
menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) yang merupakan sekutu Pakatan Harapan
(PH).
Loading...
“Mereka ini tidak memilih untuk menyertai Warisan dan mahu
menyertai Bersatu. Bagaimanapun tapisan ketat akan dikenakan untuk mereka yang
akan menyertai Bersatu.
“Tiga syarat yang kita letak ialah mereka mesti keluar Umno,
menjadi (wakil rakyat) Bebas untuk sekian lama dan barulah kita sedia untuk
terima tetapi dengan pemilihan yang ketat, bukan secara berkumpulan tetapi
individu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis
Kepimpinan Tertinggi Bersatu di sini.
Tun Mahathir berkata penubuhan Bersatu Sabah akan dibuat
secepat mungkin dan parti akan membuat keputusan mengenai pemimpinnya kemudian.
Dr Mahathir bagaimanapun menegaskan wujudnya Bersatu di
Sabah bukan untuk mencabar atau menentang Warisan yang diketuai oleh Ketua
Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Tegas beliau semua boleh menyertai Bersatu kecuali mereka
daripada parti komponen PH iaitu DAP, PKR dan Amanah serta sekutunya Warisan.
Ditanya sama ada perkara tersebut dibincangkan dengan
kepimpinan Warisan, Dr Mahathir berkata
tiada keperluan untuk berbuat demikian.
“Kita pergi Sabah untuk kuatkan kerajaan Shafie, kita bukan
nak menentang Warisan, keputusan ini kita buat bila lihat keadaan Sabah...
mereka ini (bekas anggota Umno) tak nak sertai Warisan tetapi nak sertai
Bersatu,” tegasnya, menambah keputusan itu juga
tidak memerlukan persetujuan parti-parti dalam PH.
Mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan
Negeri (DUN) Semenyih, Dr Mahathir berharap pengundi di DUN itu dapat menerima
calon yang dipilih Bersatu.
Semalam, Bersatu mengumumkan Muhammad Aiman Zainali, 30,
sebagai calon pada PRK pada 2 Mac ini manakala BN mempertaruhkan Zakaria
Hanafi, 58, Pengerusi Tetap Umno Cawangan Kampung Sesepan Kelubi sebagai
calonnya.
Muhammad Aiman ialah Bendahari Bersatu Bahagian Hulu Langat
yang juga seorang jurutera dan sedang mengikuti pengajian ijazah doktor
falsafah dalam bidang kejuruteraan elektrik di Universiti Teknologi Mara, Shah
Alam.
Muhammad Aiman juga adalah menantu penyandang, Allahyarham
Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu yang meninggal dunia pada 11 Jan lepas.
Sementara itu mengulas mengenai isu tajaan sebuah syarikat
perjudian terhadap kursus sekumpulan pimpinan tertinggi Polis Diraja
Malaysia ke Istanbul, Turki, Dr Mahathir
berkata perkara tersebut adalah tidak wajar walaupun bertujuan baik.
“Ia berlaku (kelulusan) sebelum kami (PH) memerintah.
Tujuannya bagus tapi sudah tentu ada yang mengkritik,” katanya. — Bernama
Dr M sahkan Bersatu ke Sabah, bukan untuk lawan tapi untuk kuatkan k'jaan Shafie
Reviewed by Faceless
on
22:53
Rating:
Reviewed by Faceless
on
22:53
Rating:

No comments: