Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sememangnya
individu yang cukup berpengaruh, hebat dan unik. Setakat ini, hanya Mahathir
yang mampu untuk menempa sejarah menjadi Perdana Menteri Malaysia sebanyak dua
kali.
Kepintaran beliau dalam merencanakan politik di Malaysia
penuh dramatik sehingga mampu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang
telah 61 tahun memerintah negara.
BN yang ditunjangi parti keramat orang Melayu, UMNO, gagal
buat pertama kali dalam sejarah Pilihan Raya Umum (PRU) untuk mengekalkan kuasa
mentadbir Malaysia.
Loading...
Penangan PRU-14 cukup besar. Ia seolah-olah mengajar semua
orang mengenai demokrasi yang sebenar. Sama ada suka atau tidak, kita perlu
menghormatinya kerana inilah yang telah diputuskan rakyat.
Cukuplah dengan cerita imbasan. Fokus kita sekarang ialah
untuk mara ke hadapan bersama kepimpinan Mahathir. Apatah lagi Wawasan 2020
yang menjadi visi utama Perdana Menteri ketika memerintah selama 22 tahun
antara tahun 1981 hingga 2003 hanya tinggal dua tahun lagi untuk
direalisasikan.
Operasi pembersihan
Sebaik mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh di
hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 10 Mei lalu, Mahathir
tidak berlengah untuk memulakan ‘operasi pembersihan’.
Buat permulaan, Mahathir telah melantik Presiden Parti
Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan
Perdana Menteri; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (Menteri Kewangan);
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu (Menteri Pertahanan) dan
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin
(Menteri Dalam Negeri).
Beliau kemudian telah mengeluarkan arahan melarang bekas
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah
Mansor ke luar negara sebelum mengumumkan penubuhan Majlis Penasihat Kerajaan
yang dianggotai Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Hassan
Marican, Tan Sri Robert Kuok dan Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram.
Perdana Menteri kemudian mempengerusikan mesyuarat bersama
ketua-ketua setiausaha kementerian di Yayasan Kepimpinan Perdana.
Pada 14 Mei dan seterusnya, berlaku banyak perkara yang
memeranjatkan apabila Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali diumumkan akan
bercuti dan diganti oleh Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek
berkuat kuasa serta-merta.
Tan Sri Dzulkifli Ahmad meletakkan jawatan sebagai Ketua
Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kontrak
perkhidmatan Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah sebagai Ketua Setiausaha
Perbendaharaan dipendekkan kepada 14 Jun serta dipindahkan ke Jabatan
Perkhidmatan Awam.
Pengauditan
Kerajaan juga telah mengklasifikasikan laporan pengauditan
1MDB sebagai dokumen terbuka sebelum Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim
dibebaskan selepas mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong.
Kerajaan kemudian mengumumkan Cukai Barang dan Perkhidmatan
(GST) pada kadar sifar bermula 1 Jun 2018 untuk menggunakan semula Cukai Jualan
dan Perkhidmatan (SST) dan memulakan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad
(1MDB) dengan memeriksa kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur.
Selain empat menteri kanan, turut dilantik menjadi menteri
Persekutuan termasuk Maszlee Malik (Menteri Pendidikan); Rina Mohd. Harun
(Menteri Pembangunan Luar Bandar); Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Menteri Hal
Ehwal Ekonomi); Zuraida Kamaruddin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan)
dan Anthony Loke (Menteri Pengangkutan).
Turut dilantik ialah Gobind Singh Deo (Menteri Komunikasi
dan Multimedia); M. Kulasegaran (Menteri Tenaga Manusia); Salahuddin Ayub
(Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) dan Dr. Dzulkefly Ahmad (Menteri
Kesihatan).
Di samping mengumumkan GST pada kadar sifar, satu lagi
berita gembira ialah kerajaan turut mengekalkan harga minyak pada kadar RON95
(RM2.20), RON97 (RM2.47) dan diesel (RM2.18) seliter ketika harga minyak dunia
meningkat kepada AS$70 setong (RM278.99).
Terbaharu, kerajaan telah membubarkan beberapa agensi dan
institusi berkaitan kerajaan seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat,
Jabatan Hal Ehwal Khas, Majlis Profesor Negara dan Jawatankuasa Kemajuan dan
Keselamatan Kampung Persekutuan.
Skrip kepimpinan Mahathir dahulu dan kini tentulah berbeza.
Sepanjang memegang kuasa antara 1981 hingga 2003, beliau mempunyai pengaruh
kuat dan ia terbukti menerusi lima PRU yang diketuainya iaitu pada 1982, 1986,
1990, 1995 dan 1999 Barisan Nasional (BN) sentiasa berjaya mendapat majoriti
dua pertiga.
Mengulas mengenai perkembangan itu, Presiden Gerakan
Antarabangsa Sedunia, Dr. Chandra Muzaffar berkata, persekitaran politik buat
Mahathir kini berubah dan berbeza sama sekali.
Katanya, pendekatan dan cara mengendalikan rakyat serta
kerajaan kini sudah berubah berbanding ketika era pemerintahan 22 tahun lalu.
Aura
“Dahulu, Mahathir merupakan ketua gabungan yang bukan sahaja
mempunyai kuasa tetapi kukuh untuk memerintah negara dengan majoriti dua
peratus. Ketika itu dominasi Dr. Mahathir begitu jelas walaupun tidak dinafikan
terdapat beberapa krisis namun ia berjaya diselesaikan dengan baik dan semua
orang berpuas hati.
“Namun kini, Mahathir sendiri telah menumpaskan kerajaan BN
dan bertindak pula sebagai ketua kepada gabungan empat parti politik iaitu
PPBM, DAP, PKR dan Amanah,” katanya kepada Jurnal baru-baru ini.
Tambahnya, personaliti, pengalaman, aura dan ciri-ciri kepimpinan
Mahathir telah ‘menyelamatkannya’ untuk diangkat sebagai ketua walaupun beliau
merupakan pendatang baharu di dalam gabungan tersebut.
Menurut Chandra, ia jelas menunjukkan bahawa kebanyakan
sokongan diperoleh daripada penyokong ketiga-tiga parti lain dalam Pakatan
Harapan kerana PPBM tidak mempunyai pengikut yang ramai kerana ia baru sahaja
ditubuhkan.
“Jika dahulu, Mahathir boleh membuat keputusan terus dan
secara mutlak, tetapi kini beliau perlu mengambil kira pendapat pemimpin parti
lain,” katanya.
Ujar Chandra, ketika menjadi Perdana Menteri keempat,
Mahathir diangkat atas kapasitinya yang tersendiri dalam menangani pelbagai isu
termasuk krisis mata wang pada 1998 dan kedaulatan negara tetapi kini beliau
dipilih berdasarkan gelombang suara pengundi yang mahukan perubahan disebabkan
tertekan dengan pelbagai isu yang menghimpit mereka.
“Gelombang itu berhubung kait dengan rasa tidak puas hati ke
atas penjelasan dan cara menanganinya seperti isu ketelusan, kos sara hidup,
GST, kebolehpercayaan, pekerjaan, pengangguran, 1MDB, urus tadbir, rasuah,
penyelewengan dan sebagainya,” katanya.
Tambahnya, selain itu, pemerintahan Mahathir untuk kerajaan
Pakatan Harapan (PH) juga terpaksa menangani isu-isu tumpuan yang menjadi
keresahan rakyat selama ini.
“Perlu diingat, ketika menjadi Perdana Menteri keempat,
Mahathir tidak berdepan dengan media sosial yang kini menjadi salah satu sumber
bacaan dan penyebaran maklumat sama ada betul atau tidak kepada masyarakat.
“Penggunaan media sosial telah wujud pada 1999 iaitu pada
penggal akhir Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat cuma ia masih belum
berpengaruh,” katanya.
Landskap
Sementara itu, penganalisis politik, Prof Dr. Sivamurugan
Pandian berkata, sejak melepaskan jawatan 14 tahun lalu, Mahathir telah
memerhatikan landskap politik Malaysia dan terus bertindak selepas mendapati
apa yang berlaku bukan seperti yang beliau harapkan.
Katanya, Mahathir seperti ingin memperbaiki dan
memperkukuhkan apa yang dia gagal laksanakan ketika dan selepas melepaskan jawatan
sebagai Perdana Menteri keempat.
“Kini terdapat pelbagai kelompok kumpulan sasar dengan
tetapan minda yang berbeza. Rakyat menunggu 60 janji yang akan dilaksanakan
dalam tempoh 100 hari PH memerintah seperti yang terkandung dalam manifesto
bertemakan kesejahteraan rakyat sepanjang kempen PRU-14,” katanya.
Tambahnya, janji PH untuk menghapuskan GST, meringankan
beban, menangguhkan pembayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi
Nasional dan menyiasat pelbagai jenis skandal sentiasa ditunggu rakyat.
Menurut Sivamurugan, pada era pemerintahan 2.0, Mahathir
perlu memberikan tumpuan ke arah pembentukan modal insan berbanding pembangunan
fizikal ketika zaman 1.0.
“Sebab itu kita lihat untuk fasa pertama, Mahathir telah
menubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan yang berperanan memberi pandangan mengenai
keadaan ekonomi negara dengan tujuan menstabilkan kedudukan dalaman supaya
dapat meyakinkan pelabur asing,” katanya.
Ujarnya, sebaik sahaja dapat menstabilkan ekonomi, Perdana
Menteri dijangka meneruskan pembangunan fizikal pula yang juga dilihat penting
untuk meyakinkan pelabur luar.
“Tambahan pula, walaupun pasukan Mahathir baru pertama kali
menjadi menteri, mereka mempunyai pengalaman mentadbir negeri selama 10 tahun
seperti Guan Eng dan Mohamed Azmin. Peluang harus diberikan dan kita tunggu
pula apa pula yang akan berlaku selepas 100 hari,” katanya. - Kosmo Online
Hanya Mahathir mampu tempa sejarah jadi Perdana Menteri Malaysia dua kali
Reviewed by Faceless
on
01:00
Rating:
No comments: