Ahmad Faizal Azumu berkata, pelepasan kuota Bumiputera itu
antara penambahbaikan dalam Dasar Perumahan Negeri Perak yang akan berkuat
kuasa 1 April nanti. (Gambar Facebook)
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) membantah keputusan
kerajaan Perak membenarkan pemaju perumahan memohon pelepasan kuota bumiputera
untuk dijual kepada pembeli lain selepas hartanah itu gagal dijual dalam tempoh
enam bulan berbanding 24 bulan sebelum ini.
Loading...
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Yazid Othman berkata
perubahan itu akan hanya mengalakkan pemaju untuk tidak serius dalam usaha
penjualan hartanah di bawah kategori hartanah bumiputera.
“Kuota hartanah bumiputera itu dilaksanakan bagi mengatasi
jurang ekonomi yang mewujudkan kawasan perumahan berasaskan satu-satu kaum yang
turut menjejaskan perpaduan negara," katanya dalam satu kenyataan,
semalam.
Keputusan mengurangkan tempoh dua tahun kepada enam bulan
itu merupakan antara penambahbaikan Dasar Perumahan Negeri yang diumumkan oleh
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada 13 Februari lepas.
Bagaimanapun, pelepasan hartanah bumiputera yang tidak
terjual itu adalah tertakluk kepada beberapa syarat tertentu.
“MTEM bimbang selepas berjaya mengurangkan tempoh pegangan
kuota hartanah bumiputera itu, para pemaju berkemungkinan bertindak menjadikan
kuota itu sebagai sasaran atas alasan berada dalam kedudukan kewangan yang
tidak menentu," kata Ahmad Yazid.
Merujuk butiran Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, beliau
berkata para pemaju telah membuat penawaran unit kediaman yang berlebihan
bernilai RM17.24 bilion dan mereka cuba mengurangkan kerugian dengan berusaha
mempertahankan margin keuntungan masing-masing.
Di Johor misalnya, Ahmad Yazid berkata sejumlah RM600 juta
atau 7.5 peratus levi telah dikutip daripada pemaju yang memohon untuk
melepaskan hartanah di bawah kuota bumiputera.
Selain itu, 6,000 unit rumah mampu milik di bawah program
Rumah Mampu Milik Johor telah dirancang untuk dibina dan dijual kepada semua
rakyat negeri itu tanpa mengira kaum.
"Bagi pandangan MTEM, pendekatan Johor itu perlu dikaji
sebagai penukaran levi dan antara langkah yang boleh dipertimbang untuk
dilaksanakan di seluruh negara," katanya.
MTEM juga menyifatkan kuota hartanah bumiputera itu sebagai
satu isu kompleks dan sebarang usaha pembaharuan berkaitannya memerlukan kajian
teliti serta menyeluruh.
Jelas Ahmad Yazid, alasan unit kuota bumiputera itu sukar
dijual juga tidak hanya disebabkan oleh faktor kemampuan tetapi turut menyentuh
lokasi yang tidak menarik.
“Kuota hartanah untuk bumiputera kekal sebagai kaedah
mewujudkan kawasan perumahan berbilang bangsa dan levi bagi pelepasan unit
tidak terjual di bawah kuota itu akan dapat membantu dari segi pembangunan
perumahan kos rendah untuk semua rakyat negara ini," katanya.
Beliau turut mengingatkan pemaju supaya membina rumah yang
menepati permintaan serta kemampuan rakyat negara ini dan bukannya bertindak
menjadikan kuota bumiputera itu sebagai sasaran mereka. - Bernama
MTEM bimbang pemaju perumahan di Perak prlekeh kuota bumiputera
Reviewed by Faceless
on
16:06
Rating:
No comments: