Mahkamah Persekutuan hari ini, memutuskan kemenangan
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, di kerusi Dewan Undangan
Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu sebagai terbatal
dan tidak sah.
Keputusan dibuat selepas panel lima hakim diketuai Ketua
Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum menolak rayuan Mohamad untuk
mengenepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November lalu
yang mengisytiharkan kemenangan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu bagi
DUN Rantau, terbatal dan tidak sah.
Loading...
Pada 29 November tahun lalu, Mohamad memfailkan rayuan
terhadap keputusan berkenaan.
Calon PKR bagi DUN Rantau pada PRU-14, Dr Streram Sinnasamy,
yang juga Naib Ketua PKR Cabang Rembau, memfailkan petisyen pada 23 Mei tahun
lalu untuk membatalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang
mengisytiharkan Mohamad memenangi kerusi DUN Rantau.
Dalam petisyennya, selain Mohamad selaku responden pertama,
Dr Streram turut menamakan pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan Parlimen
Rembau, Amino Agos Suyub, sebagai responden kedua; dan SPR responden ketiga.
Dr Streram diwakili empat peguam diketuai oleh Mohamed
Haniff Khatri Abdulla manakala Mohamad diwakili oleh lima peguam diketuai oleh
Datuk Mohd Hafarizam Harun.
Pada 28 November tahun lalu, SPR memutuskan untuk
mengemukakan rayuan terhadap keputusan Hakim Pilihan Raya selepas meneliti
penghakiman lisan dalam kes petisyen pilihan raya DUN Rantau dan mengambil kira
nasihat peguam, khususnya mengenai kesan beberapa dapatan fakta dan
undang-undang terhadap petugas, selain SPR sendiri kepada operasi serta
perjalanan pilihan raya di masa akan datang.
Bagaimanapun, rayuan itu tidak membabitkan pembatalan
keputusan pilihan raya DUN Rantau ketika PRU-14. - Berita Harian
Mahkamah tolak rayuan Tok Mat, arah PRK bagi DUN Rantau
Reviewed by Me
on
23:08
Rating:
No comments: