Malaysia hari ini menuntut supaya Pertubuhan Kesihatan
Sedunia (WHO) menarik balik artikel memburukkan sawit bertajuk "The Palm
Oil Industry and Non Communicable Diseases” (Industri Sawit dan Penyakit Tidak
Berjangkit) yang disiarkan dalam WHO Bulletin.
Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim berkata, Malaysia
kesal kerana artikel itu bukan sahaja tidak berasas, malah keterlaluan apabila
menyamakan industri sawit dengan taktik pelobi tembakau dan alkohol dalam
mempengaruhi penyelidikan serta kesan produknya terhadap kesihatan.
Loading...
“Kita melihat rencana itu sebagai tidak benar dan
diskriminasi terhadap minyak sawit dengan niat untuk memburukkan industri
tersebut.
“Malah, rumusan kajian itu turut menyamakan industri itu
dengan pelobi tembakau dan alkohol. Tuduhan melampau ini menjejaskan reputasi
para saintis dan penyelidik selain mengetepikan hasil mengenai nilai nutrisi
minyak sawit yang telah diterbitkan dalam pelbagai jurnal sains dan kajian
(sebelum ini),” katanya dalam satu kenyataan hari ini selepas bertemu dengan
wakil WHO ke Malaysia, Brunei dan Singapura membabitkan rencana tersebut.
Beliau berkata selain kementerian, kalangan wakil industri
minyak sawit beserta beberapa ahli akademik kanan turut mengecam artikel tidak
berasas itu.
Pandangan tersebut telah disampaikan kepada wakil WHO ke
Malaysia, Brunei dan Singapura, Dr Lo Ying-Ru dan Pegawai Pengurusan Program
dan Teknikalnya, Dr Paul Soo dalam pertemuan dengan Kok serta wakil Majlis
Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Persatuan Ahli Sains dan Teknologi Minyak
Malaysia (MOSTA) dan Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA).
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Datuk Dr. Kalyana
Sundram; Presiden MOSTA Tan Sri Emeritus Professor Datuk Dr. Augustine Ong
serta Presiden MEOA Jeffrey Ong.
“Pihak kementerian bersama kumpulan ini amat terkejut dengan
keputusan editor WHO Bulletin itu menyiarkan artikel yang menuduh industri
sawit menggunakan taktik sama seperti pelobi alkohol dan tembakau.
“Kita turut diberi penjelasan oleh Dr Lo bahawa artikel itu
bukannya satu kajian mahu pun dasar atau saranan pemakanan WHO, sebaliknya
ditulis oleh pihak lain dan disiarkan selepas dinilai oleh editor terbabit,”
katanya.
Menurut Kok, pihak WHO juga kesal kerana kajian itu
kemudiannya dipetik oleh agensi berita asing, Reuters sebagai kajian WHO dan
memberi gambaran kepada orang ramai bahawa ia memaparkan pendirian dan
pandangan rasmi pertubuhan itu terhadap minyak sawit.
Katanya, wakil WHO menjelaskan, artikel itu disiarkan
beserta nota penafian dan jelas memaparkan ia ditulis oleh Sowmaya Kadandale,
Robert Marten dan Richard Smith serta makluman tambahan bahawa artikel itu
tidak boleh dianggap sebagai kajian WHO.
“Bagaimanapun, kesan buruknya sudah berlaku dan takrifan
salah Reuters telah menarik perhatian ramai dan turut disiarkan oleh pihak
lain.
“Walaupun pihak WHO Bulletin setakat ini enggan menarik
balik penerbitan rencana itu, kita tetap tegas dan berpendapat bahawa tindakan
itu patut dibuat kerana dakwaan yang salah dan berat sebelah. Kita juga harian
bagaimana sebuah pertubuhan antarabangsa mengenai kesihatan umum boleh memberi
ruang dan menyiarkan artikel sedemikian,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia juga berharap WHO akan terus
mengenengahkan dasar dan saranan yang berasaskan sains dan bukannya berat
sebelah atau mengulangi perbuatan sedemikian.
Pada masa sama, MPOC akan menghantar kritikan terhadap
penyiaran artikel itu menerusi Surat Kepada Editor WHO Bulletin tersebut.
Kok dan wakil WHO tersebut juga sependapat supaya satu
seminar teknikal diadakan di rantau ini pada masa depan dalam usaha
memperbetulkan banyak maklumat salah mengenai minyak dan lelemak, terutamanya
minyak sawit.
-Bernama
Malaysia mahu WHO tarik balik artikel burukkan sawit
Reviewed by Faceless
on
18:20
Rating:
![Malaysia mahu WHO tarik balik artikel burukkan sawit](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhV1GYO103UTzES0lleQSTS_iZ1Hq5025gCO3Xrfd4f7ZeGB-3YK2Nc8Jpk8QkEuZ86KP2N6J4KuJR7fazv8HuTTFT_V_zlV8EQzmMqZzz88Q69vTpn5vOju8JzizjDWvFW5qQvzxkPmlRf/s72-c/pekerja-ladang-sawit-bernama-251018.jpg)
No comments: