KUALA LUMPUR — Realiti bahawa Poland akan terus
menerima kehadiran pelarian dan juga migran termasuk dari kalangan kaum Muslim,
menjadikan sebarang tuduhan yang mendakwa ia sebagai negara yang hipokrit,
tidak adil serta pada dasarnya anti-pelarian - adalah tidak betul dan tidak
wajar sama sekali, kata Duta Besar Poland ke Malaysia, Krzysztof Debnicki.
“Kumpulan yang tidak diterima hanyalah dari kalangan
pendatang haram ekonomi yang tidak menghormati undang-undang imigresen negara,”
katanya dalam kenyataan semalam.
Loading...
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada satu
penulisan dari blog Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad, Isnin,
yang bertajuk A Genocidal State yang turut dilaporkan beberapa media tempatan,
yang antara lain mengecam Israel serta kekejaman terhadap rakyat Palestin, yang
turut menyebut bahawa Hungary, Poland dan Republik Czech turut mengharamkan
pelarian.
“Merujuk kepada soal pelarian, saya perlu tekankan bahawa
Poland menerima kehadiran lebih 80,000 Muslim yang melarikan diri dari perang
di Chechnya, di samping beribu-ribu pelarian dari Ukraine Timur yang melarikan
diri dari konflik semasa di sana,” katanya.
Menurutnya Poland percaya bantuan kepada mereka yang
memerlukan adalah satu daripada tanggungjawab asas antarabangsa, dan ia juga
menjadi sebab yang sama Palestin turut disenaraikan sebagai negara yang menjadi
keutamaan dalam kerjasama pembangunan Poland.
“Kami teruskan usaha kami membantu rakyat Palestin,
menyokong mereka dari segi kewangan, membekalkan makanan, pakaian dan membina
kemudahan asas.
“Setiap tahun kosnya menjangkau lebih RM4 juta, ditanggung
oleh pembayar cukai Poland,” katanya.
Kerajaan Poland dan pertubuhan-pertubuhan kemanusiaannya
turut membantu pelarian Syria di Lubnan dan Jordan di mana sejak 2012, lebih
75,000 pelarian Syria memperoleh manfaat dari bantuan yang dibekalkan oleh
Poland. — Bernama
Poland nafi sekat pelarian, komited bantu Palestin
Reviewed by Faceless
on
17:59
Rating:
![Poland nafi sekat pelarian, komited bantu Palestin](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgHz0rDP0zYdPOfFDfcDFx5_VFrUdpjQRQ0OWhuFKAOOwjwIKLwrVMcYm4pC8DjcjBC6dLT_iT_4zd1LRPaU8bdGnBZhVfXmZxra6zNrpphDXVuB5k55wJ7dJrvNjWndg6Djq91dCS2bWi1/s72-c/mahathir.jpg)
No comments: