Foto Astro Awani
KOTA BARU — Anggota Jawatankuasa PAS Pusat Nik
Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata tindakan beliau menafikan rakaman audio
mendakwa dirinya menerima dana daripada Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan
Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu kerana mahu menjaga reputasi parti yang
disertainya.
Nik Mohamad Abduh yang juga anggota Parlimen Bachok berkata
tindakan itu diambil selepas berbincang dengan rakan-rakan dalam parti bagi
menutup sebarang isu yang mungkin akan digunakan oleh pihak lawan untuk
memfitnah PAS.
Loading...
“(Penafian terhadap rakaman audio) itu disiplin dalam parti.
Kita mesti mengajar disiplin sama seperti bercakap benar. Tapi saya tangguh
dulu, bincang dengan kawan-kawan dalam parti kerana ia melibatkan soal jemaah.
“Kalau saya benar, saya jawab sungguhlah audio itu suara
saya, tapi bukan soal reputasi saya tapi soal parti,” katanya ketika ditemui
pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di
sini, selepas pulang dari menghadiri mesyuarat PAS Pusat di Kuala Lumpur hari
ini.
Beliau berkata walaupun Islam menggalakkan umatnya untuk
bercakap benar namun ada beberapa perkara yang dibolehkan untuk berbohong.
“Sebagai contoh ada orang yang dizalimi dikejar penzalim dan
orang yang dizalimi lari minta pertolongan kita. Kita sembunyikan orang yang
dizalimi dalam rumah kita. Kalau orang cari, kalau kita bercakap benar, maknanya
kita bantu orang yang menzalimi maka pada masa itu ulama kata menipu adalah
wajib. Itu dalam bab al-Kazib.
“Jadi saya memilih dalam bab Islah, nak jaga hubungan
keharmonian dalam masyarakat supaya tidak mempercayai fitnah politik yang akan
digunakan oleh Pakatan Harapan pada masa itu dan sampai sekarang. Maknanya pada
masa itu PAS berdepan serangan fitnah sehingga kita terpaksa berhabis berjuta
ringgit untuk membersihkan (nama),” katanya.
Semalam, PAS dilaporkan mengesahkan rakaman audio perbualan
seorang individu menyentuh isu PAS menerima dana daripada Umno memang suara
milik Nik Mohamad Abduh.
Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dipetik sebagai
berkata perkara itu telah diakui Nik Mohamad Abduh sendiri namun konteks
sebenar perbualan tersebut tidak diambil secara keseluruhan. — Bernama
Nik Abduh: Nafi rakaman audio sebelum ini sebab nak jaga parti
Reviewed by Faceless
on
16:57
Rating:
Reviewed by Faceless
on
16:57
Rating:

No comments: