Dr Mahathir Mohamad mahu terminal bas lain di negara ini
mencontohi sistem Jualan Tiket Berpusat (CTS) yang diguna pakai di Terminal
Bersepadu Selatan (TBS) sejak ia mula beroperasi pada 2011.
Perdana Menteri, yang turut memuji keberkesanan sistem itu
berkata, pada masa sama, ia dapat meningkatkan mutu industri pengangkutan awam
di negara ini terutamanya perkhidmatan bas.
Loading...
“Saya dapati ramai pengguna di sini selesa. Perkhidmatan
yang ada di sini bagus. Tapi saya fikir stesen bas seperti ini perlu ada di tempat
lain juga.
“Model (sistem) stesen ini boleh juga digunakan di seluruh
Malaysia. Mungkin stesen lain kecil tetapi sistem yang ada di sini (TBS) cukup
baik,” katanya selepas mengadakan lawatan mengejut ke TBS bersempena perayaan
Tahun Baharu Cina, hari ini.
Dr Mahathir, yang berada hampir sejam di terminal bersepadu
itu untuk meninjau operasi, turut meluangkan masa bertemu orang ramai yang
menggunakan perkhidmatan di terminal itu serta mengunjungi kedai nasi kandar di
Aras 4 TBS.
CTS yang diguna pakai TBS sejak lapan tahun lepas merupakan
sistem terkini di mana penjualan tiket secara individu oleh pengendali bas
ekspres disepadukan dalam satu sistem jualan tiket yang inovatif dan terancang.
Pengguna bukan sahaja boleh membeli tiket bas di kaunter
tetapi juga di kiosk tiket layan diri di 12 lokasi di terminal itu.
CTS dapat mengelak pengguna daripada ditipu ulat tiket
kerana setiap pembelian tiket memerlukan maklumat peribadi selain destinasi
yang ingin ditujui.
Ketika melahirkan kepuasan terhadap perkhidmatan yang
disediakan TBS, Dr Mahathir mahu pengguna memanfaatkan kemudahan sedia ada
selain menjaga kebersihan ketika berada di terminal itu.
“Kalau nak kira jumlah pengguna memang ramai, jadi kita kena
pastikan tempat ini bersih termasuk di tandas,” katanya.
Pembinaan terminal cetusan idea Dr Mahathir
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Maju Holdings Sdn Bhd Tan
Sri Abu Sahid Mohamed berkata idea pembinaan terminal itu dicetuskan Dr
Mahathir sekitar tahun 2000.
“Beliau mahu saya menjalankan ‘study’ kerana terdapat
rungutan orang ramai mengenai masalah kesesakan dan ulat tiket di stesen Pudu
ketika itu. Saya ambil masa kira-kira tiga tahun untuk buat kaji selidik itu,”
katanya.
Menurut Abu Sahid, terminal yang mula beroperasi pada 1 Jan
2011 itu dikendalikan Maju Terminal Management and Services Sdn. Bhd. (Maju
TMAS), sebuah syarikat subsidiari milik penuh Maju Holdings Sdn. Bhd.
Dibina di kawasan berkeluasan 1.026 juta kaki persegi,
terminal enam tingkat itu dilengkapi kemudahan termasuk kaunter pembelian
tiket, kiosk tiket layan diri, restoran, surau dan tandas.
TBS juga mempunyai jaringan dengan pengangkutan awam bandar
raya dan kemudahan jambatan pejalan kali untuk pertukaran kepada khidmat KTM
Komuter, Express Rail Link (ERL) untuk ke KLIA dan Rapid KL bagi rel bersepadu
serta rangkaian bas.
Dari segi keselamatan, Pengarah Urusan Maju TMAS Sdn Bhd
Roslan Datuk Shariff berkata TBS dilengkapi lebih 600 kamera litar tertutup
(CCTV) dan balai polis yang diuruskan Unit Polis Bantuan Maju Holdings serta
disokong Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Rela.
“Di TBS sekarang ada 680 CCTV berbanding 542 unit sebelum
ini. Kita juga sediakan 2,500 ruang parkir kereta untuk kemudahan pengguna,”
katanya.
Beliau turut menambah, purata pengguna terminal mencecah
sehingga 40,000 pada hari biasa manakala pada musim perayaan pula meningkat
kepada 70,000.
- Bernama
PM puji sistem jualan tiket TBS
Reviewed by Faceless
on
03:47
Rating:
![PM puji sistem jualan tiket TBS](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhpVrEycoLH0Ha0vVLBsdjNo1VxA-CXb6cIXJhZ6TNLZQ9o17N4Besg6jChi3rDq9yJqqy0TAtstdAbXwHxFk6r4ZI3RpYK4cp5v5XjDpFBNkHdgfHweJVkVpxOVIVIcm7AJfjK5vHkL1Y7/s72-c/PM+puji+sistem+jualan+tiket+TBS.jpg)
No comments: