PUTRAJAYA — Kesetiaan harus diutamakan untuk negara
dan bukannya kepada pemimpin atau parti politik tertentu, kata Perdana Menteri
Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketika memberikan ingatan itu kepada anggota jentera
pentadbiran pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di
sini hari ini, Dr Mahathir berkata kesetiaan boleh diberikan kepada pemimpin
hari ini atau parti tertentu jika mereka menjalankan tugas dengan baik untuk
negara.
Loading...
"Jika pemimpin atau parti itu dapat tinggikan
pencapaian negara kita maka bersetialah kita kepada pemimpin dan parti
itu," katanya.
Namun, katanya jika pemimpin itu didapati telah menyeleweng
daripada menjalankan tanggungjawab, kesetiaan tidak seharusnya diberikan kepada
pemimpin tersebut.
"Pemimpin diperlukan tetapi negara lebih utama.
Kadang-kadang kita terpaksa ubah sedikit pandangan kita... janganlah terlalu
taksub kepada pemimpin dan parti sehingga kita lupakan tugas kita untuk
negara," katanya.
"Kalau negara itu ditadbir dengan baik dia (kerajaan)
perlu mendapat ketaatan dan kesetiaan daripada kita tetapi jika ada
penyelewengan maka yang lebih utama ialah negara, bukan orang atau parti atau
ideologi tertentu," katanya.
Perdana menteri berkata keputusan rakyat untuk menukar
kerajaan Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mei tahun lalu selepas 61 tahun
tidak pernah bertukar sejak negara mencapai kemerdekaan sudah pasti menimbulkan
perasaan tidak senang dan “tidak tentu arah” sesetengah pihak.
Ini kerana katanya, selama 61 tahun kesetiaan hanya
diberikan kepada satu kumpulan tertentu.
"Tetapi sekarang ini kita perlu beri kesetiaan kepada
kerajaan yang terdiri daripada mereka yang dahulunya musuh kepada kerajaan
lama.
"Yang utama bukan pertukaran kerajaan tetapi
kesejahteraan dan kebaikan kepada negara," katanya.
Dr Mahathir berkata jika pemerintahan yang baharu berusaha
untuk memajukan negara, dan rakyat mendapat nikmat daripada kemajuan itu, maka
kesetiaan hendaklah diberikan kepada negara agar segala usaha yang baik untuk
negara dapat dilaksanakan. — Bernama
Setia kepada negara, bukan pemimpin atau parti politik, kata Dr M
Reviewed by Faceless
on
20:04
Rating:
Reviewed by Faceless
on
20:04
Rating:

No comments: