KOTA KINABALU — Naib Presiden Pertubuhan Pasok
Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick berharap
kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke Sabah dapat mengembalikan
tuntutan aspirasi rakyat di negeri ini untuk mendapatkan hak-hak Sabah seperti
yang termaktub dalam perlembagaan.
Beliau berkata kerajaan Sabah kini sedang memperjuangkan
tuntutan aspirasi rakyat Sabah yang ini melihat bayaran royalti minyak
dinaikkan, cukai-cukai dikembalikan dan autonomi pentadbiran Sabah dikembalikan
sepertimana pada tahun awal penubuhan Malaysia.
Loading...
“Oleh itu kami berharap semua tuntutan aspirasi rakyat itu
dapat dikembalikan berikutan kemasukan Bersatu di Sabah. Saya percaya Perdana
Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai ruang bahawa beliau boleh
melaksanakan perkara yang tidak dapat dilaksanakan semasa beliau menjadi
perdana menteri (keempat) sebelum ini, terutamanya soal royalti dan cukai.
“Selaku perdana menteri kini, beliau (Dr Mahathir )
mempunyai ruang untuk menunaikan aspirasi rakyat Sabah...kerana rakyat Sabah
akan melihat sama ada kemasukan Bersatu akan dapat mengembalikan tuntutan
aspirasi rakyat berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis
Penutupan Bengkel Hala Tuju Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, di sini
hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua
Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semalam bahawa Parti Warisan Sabah
(Warisan) tidak boleh melarang kemasukan Bersatu ke negeri ini.
Mengulas lanjut, Ewon yang juga Menteri Pembangunan Luar
Bandar Sabah berkata walaupun tidak boleh melarang kemasukan Bersatu di Sabah,
namun pendirian Warisan dan parti tempatan yang berada dalam kerajaan Sabah
kini sudah cukup jelas.
“Kita ketahui Bersatu melebarkan sayap ke Sabah kerana
permintaan beberapa wakil rakyat dan sebahagian rakyat Sabah kerana mereka juga
mempunyai hak berkenaan...oleh itu kita pulangkan semula kepada rakyat Sabah
untuk menilai perkara itu.
“Sekarang apa yang penting ialah bagaimana kita
mengharmonikan pentadbiran kerajaan Sabah serta mengharmonikan hubungan
kerajaan negeri dan pusat bagi memastikan tuntutan kita seperti royalti minyak
yang lebih besar dapat dilaksanakan,” tambahnya.
Jumaat lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang
juga Pengerusi Bersatu, mengumumkan keputusan parti untuk melebarkan sayapnya
ke Sabah.
Pada masa sama, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO
Sabah, Datuk Hajiji Noor mengesahkan lima Anggota Parlimen dan lapan Anggota
Dewan Undangan Negeri yang keluar UMNO Disember lepas, menyerahkan permohonan
untuk menyertai Bersatu.—Bernama
Upko: Kemasukan PPBM ke Sabah diharap dapat kembalikan tuntutan aspirasi rakyat
Reviewed by Faceless
on
23:40
Rating:
No comments: