PUTRAJAYA, 20 Feb — Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman
denda RM1,800 terhadap ADUN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar atas sabitan
menyebut kata-kata menghasut berhubung tuntutan pembebasan Datuk Seri Anwar
Ibrahim dalam siri protes jalanan #KitaLawan pada 2015.
Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Umi Kalthum Abdul Majid yang
mempengerusikan panel tiga hakim
menggantikan hukuman penjara lapan bulan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen
kepada denda terhadap Mohd Fakhrulrazi, 39, selepas membenarkan rayuannya untuk
menggantikan hukuman penjara kepada denda.
Loading...
“Mahkamah membenarkan rayuan perayu (Mohd Fakhrulrazi)
terhadap hukuman penjara dan menjatuhkan hukuman denda RM1,800, gagal bayar
enam bulan penjara. Keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan,” kata Hakim Umi
Kalthum yang bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Harmindar
Singh Dhaliwal dan Datuk Stephen Chung Hian Guan.
Mohd Fakhrulrazi, yang juga Naib Ketua Pemuda Parti Amanah
Negara (Amanah) yang berdiri dalam kandang tertuduh mengucapkan “syukur Alhamduillah”
selepas mendengar keputusan itu.
Mohd Fakhrulrazi, yang juga bekas Bendahari Dewan Pemuda PAS
merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak rayuannya
ke atas hukuman penjara lapan bulan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala
Lumpur.
Pada 27 Februari 2018, Hakim Mahkamah Tinggi,
Datuk Azman Abdullah mengekalkan hukuman penjara lapan bulan itu selepas
mendapati hukuman itu adalah selamat untuk dikekalkan dan ianya memadai serta
tidak terlampau berat dan tidak terlampau ringan.
Pada 25 Ogos 2016, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman
penjara itu terhadap Mohd Fakhrulrazi selepas didapati bersalah terhadap
pertuduhan menyebut kata-kata menghasut di hadapan Kompleks Sogo, No. 190,
Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, pada 4.30 petang, 21 Februari 2015.
Hakim Shamsudin Abdullah dalam penghakimannya berkata
mahkamah menjatuhkan hukuman itu kerana perkataan hasutan yang digunakan Mohd
Fakhrulrazi mendatangkan kebencian dan ketidaksetiaan terhadap pentadbiran
negara.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang
boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda
maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Mohd Fakhrulrazi, yang juga penceramah bebas, sebelum ini
dibebaskan dengan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin sementara semua
rayuannya diputuskan. — Bernama
Wakil rakyat PH didenda RM1,800 kes hasutan demo Kita Lawan
Reviewed by Faceless
on
23:13
Rating:
No comments: