MB: Johor rancang henti beli air terawat dari Singapura


JOHOR BARU ― Kerajaan negeri Johor mempunyai perancangan untuk tidak lagi bergantung kepada Singapura bagi membekalkan air terawat kepada negeri.

Menteri Besar Datuk Osman Sapian berkata perancangan bagi menampung sendiri keperluan air terawat di Johor itu akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
Loading...

“Saya sentuh sedikit mengenai isu air dengan Singapura, saya ingin memberi pencerahan sedikit bahawa telah ada perancangan untuk tidak lagi bergantung kepada Singapura bagi mendapatkan sumber air terawat yang kita beli daripada mereka selama ini.

“Tetapi perkara ini masih lagi dalam peringkat perancangan dan saya tidak dapat kongsikan butirannya pada ketika ini sehingga perancangan ini dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Johor, di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, Menteri Besar Johor berkata demikian ketika berucap pada penutup Sesi Pemukiman Kerajaan Negeri Johor Bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga barisan Menteri Kabinet di Putrajaya hari ini.


Semalam, ketika bersama-sama dalam sesi pemukiman berkenaan, Dr Mahathir mahu Johor mengambil langkah proaktif dalam menyelesaikan isu pembelian air terawat daripada Singapura.

Sementara itu, menerusi kenyataan sama, Osman berkata pemukiman dua hari bermula semalam itu berjaya mencapai objektif penganjurannya.

“Program ini secara keseluruhan berjaya mencapai objektif iaitu meningkatkan tahap kerjasama antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan.

“Banyak idea dan pandangan bernas yang telah dilontarkan oleh barisan kepimpinan negeri Johor dan juga anggota pentadbiran persekutuan,” katanya.

Seramai 12 menteri persekutuan, dua timbalan menteri dan seorang ketua pengarah daripada 15 kementerian terlibat memberikan perkongsian mengenai kementerian masing-masing sepanjang sesi pemukiman berkenaan.

Sesi pemukiman disertai Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Anggota Parlimen Pakatan Harapan Johor itu adalah satu program berbentuk diskusi yang membincangkan pelbagai topik melibatkan pentadbiran seperti membentuk ekonomi mampan, agenda pekerjaan, pengangkutan, pendidikan kesihatan dan lain-lain dengan matlamat untuk memperkasa tadbir urus selepas sembilan bulan menerajui kerajaan negeri selain menjadi platform bertukar idea dan pandangan. ― Bernama
MB: Johor rancang henti beli air terawat dari Singapura MB: Johor rancang henti beli air terawat dari Singapura Reviewed by Faceless on 16:10 Rating: 5

No comments:

Loading...
loading...
Powered by Blogger.