Muhammad Syukur Khamis, 14, yang digelar 'Kampung Boy' dan
'Mowgli Malaysia' dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) malam
tadi ekoran muntah-muntah setelah terjatuh dari kerbau.
Bapanya, Khamis Jusoh, 63, berkata pada awalnya, anak bongsu
lapan beradik itu hanya luka di bahagian bahu.
Loading...
"Muhammad Syukur tidak pula mengadu sakit dan terus
aktif sepanjang hari seperti biasa. Malah, beliau sempat mengikut
abang-abangnya pergi memancing ikan kira-kira 3.30 petang tadi.
"Pulang memancing, mereka juga sempat singgah di kedai
untuk menikmati roti tempayan, namun dalam perjalanan pulang, Muhammad Syukur
ada mengadu loya dan terus muntah-muntah.
"Oleh kerana risau ia simptom akibat insiden terjatuh
itu, beliau dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," katanya ketika
dihubungi Bernama lewat malam tadi.
Menurut Khamis, Muhammad Syukur yang sejak kecil telah biasa
bersama lebih 100 ekor kerbau peliharaannya tidak pernah terjatuh sebelum ini
dan kejadian itu adalah pertama kali berlaku.
Insiden itu berlaku ketika sesi fotografi, untuk merakamkan
aksinya melompat dari belakang seekor kerbau ke seekor kerbau lain.
Sementara itu, abang Muhammad Syukur, Muhammad Alias, 29,
yang membawa beliau ke HSNZ berkata adiknya itu terpaksa bermalam di wad
hospital untuk pemeriksaan lanjut.
"Setakat ni, Syukur baik-baik sahaja, cuma doktor mahu
lakukan pemeriksaan lebih teliti untuk memastikan insiden jatuh itu tidak
memberi kesan kepadanya," katanya. - Bernama
Mowgli Malaysia terjatuh dari kerbau, bermalam di wad
Reviewed by Faceless
on
17:45
Rating:
No comments: